ARTIKEL

Rahman (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Major General Damrong Simakajornboon (empat kiri) pada majlis tersebut. - Foto: Ghazali Bujang

Persatuan Tinju Negeri Sarawak bakal sertai Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) bakal melakar sejarah baharu apabila ia menjadi badan induk kedua dari Malaysia yang menyertai Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia.

Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden WBC Asia, Major General Damrong Simakajornboon, yang menambah, SABA akan menjadi persatuan kedua dari negara ini selepas Persatuan Tinju Johor.

“Kita telah menerima permohonan daripada SABA dan menerimanya.

“Kita akan menghantar surat rasmi dalam masa seminggu,” katanya pada sidang media semasa Majlis Makan Malam dan Penghargaan sempena Kejohanan Tinju Dunia (WBC) Asia 2024 di salah sebuah hotel di Kuching semalam.

Menurut Damrong, SABA memenuhi kriteria yang diperlukan oleh WBC untuk menjadi ahli gabungannya.

Katanya, ia diperkuatkan lagi dengan hakikat bahawa SABA kini mempunyai petinju profesional, Daeloniel Mcdelon Bong atau ‘Kilat Boy’, yang telah memenangi WBC Asia Silver Super Bantamweight di Stadium Perpaduan, Petra Jaya pada Sabtu lepas.

“Kita sangat gembira kerana SABA menjadi ahli gabungan WBC dan memberi sokongan penuh kepada persatuan ini yang diketuai Presidennya, Datuk Rahman Lariwoo, atas kejayaannya melahirkan ramai petinju profesional dan juara dunia dari Sarawak dan Malaysia, selain komited menganjurkan kejohanan tinju profesional peringkat tinggi di negeri ini.

“Kita akan menyokong SABA menganjurkan Kejohanan Tinju Dunia (WBC) Asia pada tahun depan kerana persatuan ini mempunyai jawatankuasa kerja yang komited dalam melaksanakan tanggungjawab.,” katanya.

Sementara itu, Rahman mengucapkan terima kasih kepada WBC Asia dan Damrong di atas kepercayaan diberikan kepada SABA untuk menjadi ahli gabungan badan induk tinju Asia itu.

Katanya, penyertaan dalam WBC akan membuka peluang kepada SABA untuk mengangkat status sukan tinju ke tahap yang lebih tinggi selepas ini melalui penganjuran lebih banyak kejohanan bertaraf dunia di sini.

“Tujuan utama kita menyertai WBC Asia untuk melahirkan lebih ramai petinju profesional di Sarawak dan Malaysia dengan mengetengahkan mereka ke luar negara menerusi sokongan padu daripada WBC Asia.

“Saya akan mengadakan perjumpaan bersama pihak Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) untuk berkongsi usaha yang hendak kita laksanakan ini sebagai landasan untuk memacu sukan tinju di negeri ini,” tambahnya.

Ditanya mengenai Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024, beliau berkata barisan skuad tinju yang akan membawa cabaran Sarawak sudah diputuskan dan akan didedahkan dalam masa terdekat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU