MIRI: Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) bakal meraikan ulang tahun penubuhannya ke-50 pada 25 April (Jumaat) ini.
Sehubungan itu diadakan Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 NSJA bertemakan “Ke Arah Kebebasan Akhbar dan Profesionalisme” di Mega Hotel Miri.
Lebih 60 meja jamuan disediakan dengan kod pakaian bertema Gold Glamour.
Majlis makan malam itu nanti akan memberi pengiktirafan kepada bekas presiden, Anugerah Perkhidmatan Lama kepada wartawan yang bergiat lebih 10 tahun dalam industri kewartawanan.
Seramai 38 wartawan dari wilayah utara akan menerima anugerah tersebut iaitu kategori perkhidmatan 10 tahun ke atas (enam), 15 tahun ke atas (lima), 20 tahun ke atas (sembilan), 25 tahun ke atas (lapan), 30 tahun ke atas (lapan) dan masing-masing seorang penerima bagai kategori 35 tahun dan 40 tahun.
Selain itu, persatuan itu juga akan mengiktiraf bekas presiden yang secara serentak memegang jawatan Presiden Persatuan Wartawan Persekutuan Sarawak (FSJA) sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Mereka akan menerima Anugerah Sumbangan Kepimpinan NSJA.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin dijangka hadir dalam majlis tersebut.
Antara lain Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) Datuk Gerawat Gala dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni serta Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang, yang juga ADUN Pujut.
Presiden NSJA, Chai Chon Chin berterima kasih atas sokongan wakil rakyat, persatuan dan komuniti perniagaan atas sokongan berterusan mereka terhadap program persatuan.
Beliau juga menyeru semua pihak yang telah membeli tiket makan malam agar hadir tepat pada masa yang ditetapkan.
Untuk rekod, NSJA ditubuhkan secara rasmi pada 4 Mac 1975.

