BAGAIMANA perjalanan latihan industri (LI) kakak dulu?
Ini soalan yang pernah ditujukan kepada saya pada 25 November lalu daripada Ummi Intan Masarrah Mohamad Zhamri, pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka.
Pelajar Diploma Komunikasi dan Pengajian Media ini telah bertemu dengan saya di pejabat untuk sesi temu bual ringkas.
Menurutnya, temu bual tersebut merupakan tugasan kelas yang diberi oleh pensyarahnya.
Dalam tugasan tersebut, setiap pelajar diarahkan untuk menemu bual alumni pengajian media.
Dipendekkan cerita, saya telah diperkenalkan oleh seorang rakan sepejabat untuk menjadi responden gadis ini.
Pelajar Semester Empat dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) ini telah mengemukakan tiga soalan kepada saya.
Selepas sesi temu bual selama 15 minit itu tamat, kami berdua berbual-bual ringkas antaranya menyentuh mengenai latihan industri saya sebelum ini.
Memasuki Semester Lima tahun ini, dia akan menjalani latihan industri selama sebulan.
Justeru, dia berminat ingin mengetahui pengalaman latihan industri saya.
Saya sebenarnya ketika itu, tidak terfikir dia akan bertanya mengenai LI yang telah berlaku pada 15 tahun lalu.
Sebelum saya berkongsi cerita, saya bertanya mengapa dia berminat ingin mengetahui perkara tersebut.
Menurut Ummi Intan, beberapa pelajar seniornya sebelum ini memberitahu dia, mereka tidak mempunyai pengalaman LI yang baik.
Katanya, apa yang lakukan dan pelajari di tempat LI mereka (senior) sangat jauh berbeza.
“Mereka tidak diajar atau dibimbing oleh pihak berkenaan sebaliknya di suruh membuat kerja ‘budak pejabat’ hingga tamat menjalani latihan industri,” ceritanya.
Tugas budak pejabat atau Pembantu Am Pejabat merangkumi tugas pentadbiran am seperti mengurus surat-menyurat (menerima, meminitkan, mengepos), mencetak dokumen penting, mengemas kini fail dan sebagainya.
Malah, katanya, ada seniornya menjadi tukang bancuh air pejabat.
Berdasarkan perkongsian daripada beberapa seniornya itu, Ummi Intan mengakui dia sangat gementar memikirkan latihan industrinya selepas ini.
Adakah dia akan mengalami nasib yang sama seperti seniornya?
Mendengarkan ceritanya, saya berasa simpati terhadap nasib yang ditimpa oleh para senior gadis itu kerana mereka dinafikan daripada menjalani LI yang sebenarnya meskipun untuk sebulan.
Untuk bidang media, pelatih tersebut sepatutnya didedahkan dengan pengalaman sebenar dalam dunia kewartawanan.
Ia merangkumi tugasan harian melapor berita, mengumpul maklumat, menulis, menyunting dan sebagainya.
Pelatih juga belajar secara langsung daripada wartawan profesional, meliputi aspek teori dan praktikal untuk membina kemahiran seperti mencari cerita, teknik temu bual, penulisan berita yang berkesan dan seterusnya selayak seorang wartawan.
Berkongsi lanjut pengalaman saya kepada pelajar ini, saya menjalani LI selama empat bulan di sebuah syarikat akhbar tempatan di Kuching.
Sepanjang tempoh LI, saya belajar dan ditempatkan pelbagai seksyen pejabat tersebut.
Saya telah dihantar membuat pelbagai jenis liputan berita daripada kemalangan, politik, kematian, am, mahkamah, ekonomi, kemanusiaan dan sebagainya.
Saya juga menemui pelbagai jenis dan karenah manusia, dan ia membantu mematangkan diri.
Tambahan pula, untuk anak kampung menjadi seorang wartawan muda di sebuah bandar raya yang besar, hati mesti cekal.
Ini bermakna proses pembelajaran saya tidak terhenti.
Bak kata pepatah tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.
Justeru, saya boleh katakan banyak ilmu dan kemahiran amali saya belajar di syarikat akhbar tersebut.
“Sebelum membuat LI, pilihlah tempat yang mempunyai rekod yang baik.
Tanya dan minta panduan daripada senior, rakan atau kenalan yang telah menjalani LI di sesuatu organisasi tersebut.
Dari sana, buat pertimbangan sewajarnya,” nasihat ringkas saya kepada Ummi Intan.
Sebelum mengakhiri perbualan kami, saya berharap perkongsian itu dapat memberi suntikan semangat kepadanya apabila dia menjalani LI pada tahun ini.
Latihan industri merujuk kepada penempatan pelajar di sesebuah organisasi untuk menjalankan latihan praktikal yang diselia dalam industri yang dipilih.
Ia merupakan satu bentuk pendedahan dunia pekerjaan sebenar kepada pelajar sebelum mereka dianugerahkan Sijil, Diploma atau Ijazah Sarjana Muda.
Ia bertujuan meningkatkan kemahiran insaniah, membina rangkaian profesional, dan aplikasi teori dalam suasana kerja.
LI biasanya berlangsung selama tiga hingga sembilan bulan bergantung kepada IPT tersebut.
Sebagai pelajar dari pelbagai bidang seperti pengajian media, kejuruteraan, perniagaan, teknologi maklumat, sains kesihatan, dan banyak lagi, kita biasanya perlu melengkapkan latihan industri sebagai sebahagian daripada syarat pengijazahan.
Selain itu, kita dapat memperoleh perspektif yang lebih jelas mengenai kerjaya yang ingin diceburi.
Latihan industri membantu pelajar memupuk semangat kerja dan kemahiran komunikasi berkesan dalam persekitaran korporat.
Kesimpulannya, latihan industri dapat membantu kita mengenal pasti minat serta kemahiran yang perlu dipertingkatkan, menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan selepas tamat pengajian.



