KUCHING: Persekutuan Kuntau Sarawak (SKF) mencapai satu lagi kejayaan penting dalam mempromosikan warisan seni mempertahankan diri tradisional Sarawak di persada antarabangsa menerusi penyertaan dalam Pertandingan Seni Mempertahankan Diri Antarabangsa (International Martial Arts Contest – IMAC) 2026 yang dianjurkan World Martial Arts Union (WoMAU) di Chungju, Korea Selatan.
Delegasi seramai 22 individu itu menggalas tanggungjawab mewakili Malaysia dengan penuh kebanggaan dan mempamerkan kepelbagaian seni mempertahankan diri tradisional yang diamalkan masyarakat Melayu, Iban dan Bidayuh di Sarawak.
Delegasi SKF menampilkan tiga tradisi seni mempertahankan diri yang unik, iaitu Kuntau Melayu (Silat Seni Asli Zamrud dan Mayang Mengurai), Kuntau Iban (Spring Kipas dan Spring 24 Propeller Bilun Kiruh) dan Kutow Bidayuh (Kutow Rusat Rimoung).

Seni bela diri tradisional ini melambangkan kepelbagaian identiti budaya, pengetahuan warisan nenek moyang, falsafah serta tradisi pertarungan masyarakat di Sarawak, sekali gus mencerminkan warisan unik negeri ini dan semangat perpaduan dalam kepelbagaian.
Pasukan seni bela diri Bidayuh SKF berjaya meraih tempat keempat dalam kategori Berpasangan Bersenjata (Weapons Duo), bersaing dengan wakil daripada 10 buah negara, serta menerima hadiah wang tunai KRW250,000.
SKF turut menerima Anugerah Kehormat bernilai KRW400,000, menjadikan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai yang diterima sebanyak KRW650,000.
SKF berdedikasi memelihara, membangunkan dan mempromosikan seni bela diri tradisional ‘Kuntau’ serta seni bela diri peribumi sebagai elemen penting dalam identiti budaya dan warisan tidak ketara Sarawak.
World Martial Arts Union (WoMAU), yang beribu pejabat di Chungju, Korea Selatan, ialah organisasi antarabangsa yang komited memelihara dan mempromosikan seni bela diri tradisional di seluruh dunia.
Rangkaian antarabangsa badan induk berkenaan merangkumi kira-kira 41 buah negara dan lebih daripada 60 organisasi seni bela diri yang menggalakkan pertukaran budaya, persahabatan dan kerjasama antarabangsa, termasuk inisiatif yang selaras dengan objektif warisan budaya tidak ketara UNESCO.
IMAC 2026 menarik penyertaan 13 buah negara yang bersaing dalam tujuh kategori utama.
Antaranya ialah kategori Individu Tanpa Senjata (Lelaki dan Wanita), Individu Bersenjata (Lelaki dan Wanita), Berpasangan Tanpa Senjata dan Persembahan Berkumpulan.
Pertandingan ini mengiktiraf persembahan cemerlang menerusi penganugerahan pingat emas, perak dan gangsa, sijil penghargaan serta hadiah wang tunai, di samping anugerah khas yang meraikan aspek populariti, keharmonian, keamanan dan persahabatan.
Mengulas pencapaian tersebut, Pengerusi SKF, Dato’ Abang Ariffin berkata beliau menzahirkan rasa bangga terhadap penyertaan delegasi Malaysia serta pengiktirafan antarabangsa yang diterima.
“Penyertaan kami dalam IMAC 2026 bukan sekadar untuk memenangi pertandingan atau menerima anugerah. Ia lebih kepada usaha membawa Sarawak dan Malaysia ke persada antarabangsa, di samping memelihara serta berkongsi warisan seni bela diri tradisional kita dengan dunia,” ujar beliau menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berbangga kerana delegasi SKF mengetengahkan seni bela diri tradisional daripada komuniti Melayu, Iban dan Bidayuh ke pentas dunia.
“Tradisi-tradisi ini mencerminkan kepelbagaian budaya yang kaya di Sarawak, yang mencerminkan komuniti berbeza, berkongsi komitmen yang sama untuk memelihara warisan nenek moyang mereka,” tambahnya.
Beliau mengakui seni mempertahankan diri tradisional ialah manifestasi hidup bagi sejarah, kebijaksanaan, disiplin, falsafah dan identiti budaya kita.
“Kita mesti memelihara tradisi ini, mendokumentasikan asal usulnya, serta memastikan kelangsungannya untuk generasi akan datang,” ujar beliau.
Samnil percaya Sarawak mempunyai potensi yang amat besar untuk menjadi pusat antarabangsa bagi seni mempertahankan diri tradisional, warisan budaya, pendidikan dan pelancongan.
Melalui kerjasama dengan WoMAU dan rakan antarabangsa, kami berharap dapat mewujudkan lebih banyak peluang untuk generasi muda kita.
“Seni mempertahankan diri seharusnya menyatukan umat manusia, melangkaui perbezaan kewarganegaraan, etnik, agama dan budaya. Inilah semangat sebenar ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’,” menurut beliau.
Dato’ Abang Ariffin, yang mewakili SKF, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tulus ikhlas kepada Kerajaan Sarawak, para pemimpin negara serta institusi penyokong atas dorongan, keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap inisiatif SKF dalam memelihara dan mempromosikan seni mempertahankan diri tradisional di peringkat antarabangsa.
“Penghargaan khusus ditujukan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Amar Fadillah Yusof, dan barisan menteri kabinet lain serta pihak berkaitan atas sokongan yang diberikan.
“Kami amat berterima kasih kepada para pemimpin dan institusi penyokong kami kerana mempercayai visi serta inisiatif SKF. Dorongan dan keyakinan mereka telah memberi inspirasi kepada kami untuk membawa seni mempertahankan diri tradisional Sarawak ke persada antarabangsa,” katanya.
Pencapaian ini, jelas beliau, bukan sahaja milik SKF, malah milik rakyat Sarawak dan Malaysia.
Ia membuktikan apa yang mampu kita capai apabila kita bekerjasama dalam memelihara dan mempromosikan warisan budaya yang kita kongsi bersama.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua delegasi terlibat yang mewakili tradisi seni bela diri Melayu, Iban dan Bidayuh atas dedikasi, disiplin, semangat berpasukan dan komitmen yang ditunjukkan.
“Persekutuan itu turut merakamkan penghargaan kepada WoMAU, Jawatankuasa Penganjur IMAC 2026, serta penduduk Chungju, Korea Selatan, atas layanan mesra dan komitmen mereka dalam mempromosikan seni bela diri tradisional di peringkat antarabangsa,” tegas beliau.
Dalam pada itu, SKF berhasrat memperkukuh kerjasama dengan WoMAU, inisiatif warisan budaya yang berkaitan dengan UNESCO serta organisasi seni mempertahankan diri antarabangsa bagi memajukan usaha pemeliharaan seni mempertahankan diri tradisional, pendidikan, pembangunan belia, pertukaran budaya dan pelancongan warisan.
“Persekutuan ini berharap dapat mendokumentasikan dan mempromosikan tradisi seni mempertahankan diri tradisional masyarakat Melayu, Iban, Bidayuh dan etnik peribumi lain di Sarawak, sekali gus memastikan kelangsungan pembangunan serta pengiktirafannya dalam komuniti warisan budaya antarabangsa.
“SKF percaya bahawa inisiatif-inisiatif ini mampu menyumbang kepada usaha meletakkan Sarawak sebagai hab serantau dan antarabangsa bagi seni mempertahankan diri tradisional serta warisan budaya, yang selari dengan aspirasi pembangunan budaya dan pelancongan negeri yang lebih luas,” akuinya.
Beliau memberitahu bahawa perjalanan pihaknya tidak berakhir dengan IMAC 2026.
“Ini ialah satu lagi permulaan ke arah kerjasama antarabangsa yang lebih erat, pemeliharaan budaya, dan peluang untuk generasi akan datang.
“Bersama-sama, kita terus mempromosikan Sarawak dan Malaysia melalui nilai universal (Perpaduan Dalam Kepelbagaian),” katanya.





