ARTIKEL

Apurva Sanghi menyampaikan ucapan. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

Persekutuan, Sarawak perlu selaras tangani perubahan iklim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penyelarasan antara Persekutuan dengan Sarawak kekal kritikal dalam memastikan tindakan perubahan iklim memberi manfaat menyeluruh kepada negara dan negeri melalui peranan institusi yang jelas, perancangan terselaras serta sistem data yang dikongsi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata, pelancaran Laporan Penilaian Institusi Perubahan Iklim Subnasional Malaysia (CCIA) menonjolkan kemajuan dicapai serta peluang untuk memperkukuh keberkesanan institusi, termasuk dari aspek penyelarasan persekutuan–negeri sebagai manfaat bersama di peringkat nasional.

“Risiko iklim tidak terhenti di sempadan pentadbiran kerana institusi negeri yang kukuh melengkapi strategi iklim nasional.

“Apabila sistem persekutuan dan negeri berfungsi secara berkesan bersama, pelaburan menjadi lebih cekap, dasar lebih selaras dan hasilnya memberi manfaat kepada Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran CCIA yang dirasmikan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Menurutnya, laporan itu turut mendapati terdapat komitmen yang tinggi dalam kalangan agensi negeri terhadap agenda tindakan iklim tetapi seperti di banyak negara lain, mekanisme penyelarasan masih boleh diperkukuh bagi memastikan dasar dapat diterjemahkan dengan lancar kepada pelaksanaan.

“Dapatan kedua adalah pertimbangan iklim kini semakin diitengrasikan dalam proses perancangan. Pelaburan berterusan dalam sistem pemantauan, rangka kerja data dan mekanisme penilaian akan membantu memastikan kemajuan dapat diukur serta dikekalkan.

“Pada masa sama, sistem pembiayaan iklim berkembang pesat. Pengukuhan belanjawan berasaskan iklim, penjejakan perbelanjaan dan keutamaan pelaburan akan terus menyokong penyampaian yang lebih berkesan,” jelasnya.

Beliau menambah, laporan tersebut turut merujuk amalan terbaik dari wilayah lain yang relevan dengan konteks iklim negeri-negeri Borneo dan berdepan cabaran serupa dengan meneliti bagaimana kerajaan subnasional di negara lain memperkukuh penyelarasan antara kerajaan.

“Selain itu, kami turut meneliti bagaimana mereka membangunkan sistem pengurusan kewangan awam yang mesra iklim serta meningkatkan ketelusan dan pelibatan pihak berkepentingan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, penilaian itu merupakan hasil usaha kolaboratif yang menyeluruh sepanjang dua tahun lalu dengan lebih 150 pegawai di Sabah dan Sarawak telah menyumbang kepada penyediaan laporan.

“Selain itu, lebih 80 pegawai di Sarawak turut mengambil bahagian secara langsung yang membuktikan bahawa proses kolaboratif ini memastikan setiap syor yang dikemukakan berasaskan realiti operasi dan sejajar dengan keutamaan pembangunan negeri,”jelasnya.

Mengulas tentang kerjasama bersama Sarawak, beliau berkata kerjasama Bank Dunia dengan negeri ini kini berkembang melangkaui agenda iklim kepada pengukuhan tadbir urus yang lebih menyeluruh.

“Kami bekerjasama dalam memperkukuh tadbir urus sektor awam dan ekonomi, termasuk menyokong reformasi syarikat milik kerajaan negeri, pengurusan kewangan awam dan belanjawan berasaskan hasil.

“Usaha ini bertujuan memastikan kekuatan ekonomi serta sumber semula jadi Sarawak diterjemahkan kepada pertumbuhan jangka panjang yang mampan, inklusif dan ditadbir dengan baik,” tambahnya.

Sehubungan itu, Apurva menjelaskan kerjasama menyeluruh itu berkait rapat dengan pelaksanaan CCIA kerana tindakan iklim yang berkesan bergantung kepada asas yang sama iaitu institusi kukuh, mandat jelas, data berkualiti, perancangan terselaras serta pengurus kewangan yang mantap.

“CCIA menjadi asas penting untuk tindakan susulan yang lebih tersusun kerana menyediakan diagnostik terhadap kekuatan dan jurang institusi, pelan hala tuju reformasi berstruktur serta cadangan tindakan bagi jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya.

Justeru, beliau turut merakamkan kepada Kerajaan Sarawak dan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) atas visi serta kerjasama yang diberikan.

“Saya juga berterima kasih kepada pemegang taruh dan rakan-rakan di Sabah termasuk Majlis Tindakan Iklim Sabah yang memainkan peranan penting dalam memastikan penilaian itu mencerminkan realiti dan keutamaan kedua-dua negeri di Borneo.

“Perbincangan dan pembentangan hari ini memperkukuh satu mesej penting iaitu cita-cita iklim kekal menjadi fokus utama, tetapi institusilah yang menentukan sama ada cita-cita tersebut mampu diterjemahkan kepada hasil yang nyata,” tegasnya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU