KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 18 bantahan setakat ini ke atas cadangan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata, bantahan itu diterima dari seluruh Sarawak, termasuk membabitkan perubahan daerah mengundi antara kawasan serta cadangan nama kawasan DUN.

“Setakat semalam, berdasarkan representasi yang diterima secara dalam talian, sebanyak 18 bantahan diterima. Kita akan memperincikan bantahan itu kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi pameran Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak di pekarangan ruang legar (lobi) Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), di sini hari ini.
Ramlan berkata antara kawasan yang dibangkitkan dalam bantahan berkenaan ialah Sarikei, Bintulu dan Sibu, namun beliau tidak mempunyai pecahan khusus jumlah bantahan mengikut kawasan.
Beliau berkata SPR akan menilai semua bantahan yang diterima susulan pameran cadangan persempadanan semula yang bermula 1 September dan berakhir 30 September ini.
“Setakat ini, kita belum menerima sokongan. Biasanya kita menerima bantahan. Kita masih mempunyai masa seminggu lagi, jadi kita berharap lebih ramai akan memberikan pandangan berhubung cadangan persempadanan semula ini,” ujarnya.
Berkaitan prinsip yang digunakan dalam menentukan cadangan sempadan baharu itu, Ramlan berkata SPR mengambil kira beberapa faktor, termasuk jumlah pemilih, keadaan geografi dan lokaliti sesuatu kawasan.
“Setiap prinsip adalah unik mengikut DUN dan kawasan. Kita tidak boleh menggunakan satu prinsip yang sama untuk semua kawasan,” jelasnya.
Ramlan berkata terdapat kawasan DUN yang dicadangkan mungkin mempunyai kurang daripada 10,000 pemilih berdasarkan faktor tertentu yang perlu dipertimbangkan.
“Ada kalanya sesuatu kawasan itu kecil dan jumlah pemilihnya tidak ramai, tetapi kawasan itu perlu dikekalkan atas faktor yang perlu dipertimbangkan, termasuk keperluan memastikan sesuatu kumpulan diwakili dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Beliau berkata SPR akan menilai semua bantahan selepas tempoh pameran tamat pada 30 September sebelum meneruskan proses pameran kedua, selaras dengan proses yang ditetapkan.
Menyentuh kemungkinan kajian persempadanan DUN tersebut memberi implikasi ke atas sempadan kawasan Parlimen, Ramlan berkata perkara berkenaan bergantung kepada cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, Kerajaan Persekutuan sebelum ini memaklumkan satu kajian akan mengemukakan cadangan pindaan Perlembagaan, kemudiannya berpotensi membawa kepada kajian semula sempadan kawasan Parlimen, khususnya di Sabah dan Sarawak.
“Ia tidak semestinya perlu menunggu proses DUN selesai. Ia bergantung kepada pindaan Perlembagaan yang sedang disediakan berkaitan perkara itu,” katanya.

