BETONG: Bahagian Betong dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Peringkat Sarawak 2026 yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 15 Jun depan.
Sebagai persiapan awal, satu lawatan tapak serta Mesyuarat Jawatankuasa Induk Bilangan 1/2026 diadakan pada 28 April, diketuai Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai, yang juga menteri bertanggungjawab bagi sambutan tersebut.
Lawatan itu melibatkan beberapa lokasi utama yang dikenal pasti sebagai lokasi program, antaranya Masjid Jamek Betong, Dewan Panglima Rentap dan Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.
Turut serta Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan; Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak, Datu Hamdan Sharbini serta Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas, bersama ketua jabatan berkaitan.
Lawatan bermula seawal jam 10 pagi dengan penilaian menyeluruh terhadap kesesuaian lokasi, termasuk kapasiti, kemudahan parkir, aliran keluar masuk, aspek keselamatan, kawalan trafik serta keperluan logistik seperti sistem siar raya, susun atur tempat duduk dan pentas.
Sejurus selesai lawatan, satu mesyuarat penyelarasan diadakan di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong bagi meneliti dapatan serta memperincikan perancangan pelaksanaan program.
Mesyuarat itu turut menyaksikan pembentangan oleh agensi terlibat yang merangkumi aspek keselamatan, pengurusan trafik, logistik, protokol tetamu kenamaan, publisiti serta penyelarasan teknikal sepanjang tempoh penganjuran.
Langkah penyelarasan awal ini dilihat penting bagi memastikan sambutan rasmi peringkat Sarawak itu dapat dilaksanakan secara teratur, lancar serta mematuhi sepenuhnya standard protokol istiadat negara.


