KUCHING: Bazar ibarat satu kewajiban apabila menjelang bulan Ramadan, ia sering kali menjadi tumpuan orang ramai bagi mendapatkan juadah untuk berbuka puasa.
Berbaki kurang dari 24 jam menjelang, orang ramai termasuk para kontraktor kini sedang sibuk membuat persiapan terakhir sempena menyambut bulan Ramadan.
Hasil tinjauan Suara Sarawak mendapati puluhan tapak niaga telah disediakan di dua lokasi berbeza, Pine Square Batu Kawa dan juga di Emart Batu Kawa, kedua-dua tapak tersebut bakal beroperasi bermula pada jam dua petang sehingga 12 pagi bermula 23 Mac sehingga 23 April ini.

Tinjauan di Pine Square Batu Kawa mendapati para kontraktor sedang mendirikan kanopi khas untuk para peniaga yang telah mendapat permit berjual daripada pihak berkuasa.
Hasil tinjauan di Emart Batu Kawa pula mendapati para peniaga sedang gigih menghias gerai jualan mereka mengikut kreativiti masing-masing.
Puluhan tapak jualan telah disediakan sepanjang berlangsungnya Festival Bulan Ramadan ini dan para pengunjung bakal disajikan dengan aneka juadah yang menyelerakan.
Selain daripada makanan dan minuman, terdapat juga beberapa gerai jualan yang bakal menjual barangan persiapan sempena Hari Raya Aidilfitri seperti pakaian, biskut, langsir dan banyak lagi.
Festival bazar Ramadan ini juga dijangka bakal membantu menyediakan peluang perniagaan khasnya kepada para usahawan atau peniaga kecil bagi menjana pendapatan.
Diharapkan perkongsian mengenai tapak Bazar Ramadan di Kuching ini dapat membantu orang ramai khususnya umat Muslim bagi mencari lokasi bazar Ramadan yang berdekatan dengan lokasi masing-masing.
Selamat menjalani ibadah puasa dan semoga puasa menjadi mudah di bulan yang mulia ini.


