KUCHING: Yayasan Ikram Malaysia (Ikram) fokus untuk membantu masyarakat yang benar-benar memerlukan dan kurang bernasib baik di seluruh negara, termasuk di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamsani Nasir berkata, ia termasuk menyalurkan bantuan barangan keperluan dan makanan asas kepada umat Islam yang bakal menyambut bulan Ramadan.

“Seperti program hari ini, kita memberikan makanan asas kepada sekitar 100 penerima dari tiga kampung sekitar Kuching untuk meringankan beban mereka menyambut Ramadan yang bermula esok.
“Ini bagi membolehkan mereka turut menyambut bulan tersebut dan menjalani ibadah puasa sama seperti masyarakat yang lain dan bantuan itu disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan berdasarkan cadangan daripada ketua kaum masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Sumbangan Ramadan di Dewan Terbuka, Kampung Sri Maimunah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, program tersebut dijalankan secara berterusan di seluruh bahagian di Sarawak dengan bantuan yang diberikan merupakan sumbangan daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat, individu dan banyak lagi.
“Program seperti ini sudah banyak kali dianjurkan dan seterusnya kita akan ke kampung-kampung lain. Malah ia bukan hanya satu program, di Samarahan ada program sendiri, di Sibu pun lain dan begitulah seterusnya di bahagian lain.
“Malah, sepanjang bulan Ramadan ini kami akan menganjurkan program sumbangan makanan siap untuk berbuka puasa dan bersahur dari kampung ke kampung di sekitar Kuching.
“Ia dengan harapan semua masyarakat yang kurang bernasib baik turut dapat menikmati nikmat berpuasa dengan lebih bermakna,” ujarnya.
Selain itu katanya, pihaknya turut menyalurkan sumbangan berupa kewangan, bantuan balik ke sekolah, bantuan perubatan, pendidikan, perniagaan serta pelbagai lagi.
“Pada tahun lalu, pihak kita menyalurkan bantuan berjumlah RM3 juta di seluruh Malaysia bagi melaksanakan semua program yang dirancang,” jelasnya.
Sementara mengenai program semalam, katanya bantuan makanan seperti beras, gula, tepung serta makanan asas lain disumbangkan kepada 100 penerima dari Kampung Sungai Periok, Kampung Jalan Mendu dan Kampung Sri Maimunah.
Hadir sama Menteri di Kedutaan China di Malaysia, Tang Rui.


