KUCHING: Raptai penuh Perarakan ‘Niti Daun’ Gawai Dayak 2023 yang berlangsung bermula kira-kira jam 3.30 petang tadi memeriahkan suasana di pekarangan Tebingan Kuching.
Upacara raptai diteruskan sejurus selepas keadaan cuaca hujan lebat reda bermula di hadapan Bangunan Tun Jugah.

Menteri Di Jabatan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Datuk John Sikie Tayai berkata, persiapan acara menjelang hari sebenar esok hampir mencapai 100 peratus melihat kepada hasil raptai yang dilaksanakan.
“Persiapan yang dilaksanakan hampir 95 peratus, jadi jangkaan kita pada esok tidak ada masalah cuma khuatir keadaan cuaca tidak menentu.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri raptai penuh perarakan tersebut di sini, hari ini.
Majlis raptai turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (0embangunan Bakat) Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Jefferson Jamit Unyat dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Pelabuhan) Datuk Majang Renggi.
Acara raptai menyaksikan ahli jawatankuasa kontinjen perarakan mengiringi para tetamu kehormat berarak sejauh 1.2 kilometer dari bangunan Tun Jugah sehingga ke Tebingan Kuching.
Perarakan Niti Daun yang berlangsung esok sempena sambutan 60 tahun kemerdekaan Sarawak dan Gawai Dayak 2023 akan dihadiri sebanyak 91 kontinjen serta 3,000 peserta.
Mereka terdiri daripada para Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dayak, Persatuan Kebudayaan Dayak, ketua kaum dan ketua masyarakat Dayak, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ‘Bujang Berani’ bakal hadir ke acara tersebut esok.

