KUCHING: Persiapan bagi Sukan SEA 2027 yang diluluskan Kabinet Persekutuan melibatkan empat negeri – Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur diharap dapat diteruskan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah meluahkan harapan agar Menteri Belia dan Sukan baharu meneruskan semua perancangan serta inisiatif sedia ada.
“Saya berharap kepimpinan baharu di peringkat Persekutuan akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan belia dan sukan, memperkukuh sektor pelancongan serta meneruskan persiapan Sukan SEA 2027 tanpa gangguan.
“Kami mengalu-alukan pelantikan Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Dr Mohammed Taufiq Johari dan saya akan mengadakan kunjungan hormat dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita, selepas mewakili Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Forum Acara Perniagaan Sarawak 2025, di sini, hari ini.
Mengulas perubahan di Kementerian Belia dan Sukan, Abdul Karim berkata beliau mempunyai hubungan kerja yang rapat dengan bekas menteri, Hannah Yeoh, khususnya semasa penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA).
Dalam pada itu, beliau turut mengulas berkaitan rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol, dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan menggantikan Adam Adli Abd Halim, manakala Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man, dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.
“Di peringkat Sarawak, kedua-dua kementerian ini berada di bawah penyeliaan saya dan berharap dapat menjalinkan kerjasama yang baik. Tahniah kepada kedua-duanya,” katanya.
Menurutnya lagi, timbalan menteri baharu memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan struktur dan fungsi kementerian masing-masing.
“Tanggungjawab mereka bukan sahaja tertumpu di Sarawak tetapi turut meliputi Semenanjung Malaysia.
“Bagi Sarawak, harapan saya ialah keutamaan diberikan kepada pembangunan belia dan sukan, termasuk pembangunan bola sepak dalam kalangan belia, serta usaha berterusan untuk memperkukuh sektor pelancongan,” ringkasnya.

