ARTIKEL

Abdul Karim ketika berucap pada Majlis Kiraan Detik Setahun Menuju Sukan SEA 2027, di sini, malam tadi. Foto: Mohd Alif Noni

Persiapan venue Sukan SEA 2027 di Sarawak mendahului jadual

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hampir kesemua 11 venue sukan di Sarawak yang sedang dinaik taraf bagi temasya Sukan SEA ke-34 2027 kini mendahului jadual, termasuk Stadium Sarawak yang bakal menjadi lokasi upacara pembukaan temasya berkenaan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkembangan itu menunjukkan persiapan Sarawak bagi menjadi tuan rumah bersama temasya sukan terbesar Asia Tenggara berkenaan berjalan lancar.

Detik bersejarah bermula… Gimik perasmian Majlis Kiraan Detik Setahun Menuju Sukan SEA 2027. Foto: Mohd Alif Noni

“Daripada 11 venue yang sedang dinaik taraf, hampir semuanya mendahului jadual, termasuk stadium utama, Stadium Sarawak yang akan menjadi lokasi upacara pembukaan,” katanya.

“Semalam saya diberi taklimat berhubung persiapan venue-venue dan setakat ini semuanya berjalan dengan baik,” katanya pada Majlis Kiraan Detik Setahun Menuju Sukan SEA 2027, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan Pusat Penyiaran Antarabangsa yang terletak bersebelahan bangunan Baitul Makmur turut berjalan mengikut jadual dan dijangka siap sebelum temasya bermula.

“Pusat Penyiaran Antarabangsa juga mendahului jadual pada masa ini dan mesti siap sebelum Sukan SEA kerana di situlah penyiaran serta penyebaran maklumat dan data tertentu kepada negara-negara yang terlibat dan seluruh dunia akan dilakukan,” katanya.

“Kita memberi tumpuan kepada perkara ini supaya data dan maklumat dapat disalurkan dengan mudah kepada negara-negara terlibat kerana mereka mahu mengetahui perkembangan pertandingan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sukan SEA ke-34 akan berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 dan mempertandingkan 43 jenis sukan, dengan Sarawak buat julung kalinya menjadi penganjur bersama serta menganjurkan 18 jenis sukan.

Antara sukan yang dipertandingkan di Sarawak ialah akuatik, angkat berat, bola keranjang, sukan elektronik, golf, boling padang, memanah, menembak, muay, petanque, skuasy, boling tenpin, tenis, taekwondo, wushu, kriket, gimnastik dan dansport.

Sarawak turut diberi penghormatan menjadi lokasi upacara pembukaan di Stadium Sarawak, manakala Kuala Lumpur menjadi lokasi upacara penutupan.

Kuala Lumpur akan menganjurkan 18 jenis sukan termasuk badminton, berbasikal, bola jaring, bola tampar, ekuestrian, hoki, luncur ais, karate, lawan pedang, olahraga, pencak silat, ragbi, ski air, pelayaran, teqball, padel, hoki ais dan kabaddi.

Pulau Pinang pula menjadi tuan rumah enam sukan iaitu snuker dan biliard, judo, sepak takraw, tinju, ping pong serta floorball, manakala Johor akan menganjurkan acara bola sepak.

Sukan Para ASEAN ke-14 pula dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 23 Oktober 2027.

BERITA LAIN

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan

BERITA TERBARU