KUCHING: Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak (PASS) memainkan peranan penting dalam usaha memperkaya sumber sejarah, sekali gus mencerminkan hasrat untuk merakyatkan sejarah Sarawak dalam naratif sejarah negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata sejarah bukan sekadar sesuatu yang diwarisi, sebaliknya perlu difahami, dipelajari dan dimanfaatkan untuk membentuk masa hadapan.
Katanya, generasi hari ini perlu diberikan peluang untuk memahami bagaimana Sarawak berkembang serta bagaimana masyarakat daripada pelbagai latar belakang bersama-sama membentuk negeri ini.
“Saya melihat persidangan dengan tema yang dipilih, iaitu ‘Sejarah Sarawak: Mengisi Makna, Membina Negara Bangsa’ amat bertepatan kerana mencerminkan hasrat merakyatkan sejarah Sarawak dalam naratif sejarah negara.

“Memahami sejarah Malaysia menuntut perspektif yang luas dengan mengambil kira pengalaman setiap wilayah dan masyarakat yang membentuk Persekutuan. Perjalanan Sarawak menuju penubuhan Malaysia merupakan episod penting yang perlu terus dikaji dan direkodkan agar generasi akan datang dapat memahami kepentingan negeri ini secara lebih menyeluruh.
“Justeru, saya percaya persidangan pada kali ini mempunyai nilai yang besar dalam memperkaya sumber sejarah negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak (PASS) 2026 di Wisma Melayu, di sini, hari ini.
Tambahnya, seramai 19 pembentang turut berkongsi pengalaman dan dapatan masing-masing sepanjang persidangan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Ahmad Sukri Abdul Kadir, memaklumkan bahawa tahun ini Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak meraikan Jubli Emas penubuhannya – genap 50 tahun selepas ditubuhkan secara rasmi pada 1 Julai 1976.
Menurutnya, sempena sambutan tersebut, tiga program utama dianjurkan, iaitu PASS 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini (29 September) hingga esok, diikuti Majlis Syarahan Negarawan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta Majlis Polemik Sejarah Malaysia Kali Ke-56: Persempadanan Maritim Malaysia: Sejarah, Kedaulatan dan Geopolitik pada 1 Oktober.
Beliau berkata PASS 2026 merangkumi lima sesi pembentangan kertas kerja yang meliputi Sejarah Awal Sarawak; Sejarah dan Perjuangan Nasionalisme Sarawak; Sejarah Pentadbiran Sarawak dan Federalisme; Sosiobudaya, Etnik dan Warisan Sarawak; serta Ekonomi dan Evolusi Pembangunan Sarawak.
“Hasil pembentangan dan rakaman persidangan itu akan disimpan secara kekal di Arkib Negara Malaysia untuk menjadi bahan rujukan bagi kajian dan penyelidikan generasi kini serta akan datang,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Sukri merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara melalui Arkib Negara Malaysia yang menjadi teraju dalam menjayakan Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2026 bersama-sama rakan strategik lain, iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Pustaka Negeri Sarawak, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dan Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS).

