BINTULU: ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, komited membawa aduan, kebimbangan dan keperluan pembangunan penduduk Bintulu ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memastikan suara rakyat terus diberi perhatian.
Beliau berkata isu yang dibangkitkan masyarakat perlu ditangani sewajarnya, manakala usaha pembangunan harus diteruskan bagi memenuhi keperluan penduduk serta memelihara kesejahteraan komuniti.
Menurutnya, pelbagai isu yang menyentuh kehidupan seharian penduduk, termasuk pengangkutan, mitigasi banjir, perkhidmatan kesihatan, bekalan air dan kemudahan infrastruktur awam, memerlukan perhatian berterusan daripada pihak berkaitan.
“Suara rakyat mesti didengari, masalah masyarakat perlu ditangani dan pembangunan tidak boleh terhenti.
“Janji sahaja tidak mencukupi, kita mesti memastikan segala usaha dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena persidangan DUN Sarawak yang kembali bersidang bermula 12 hingga 21 Oktober ini.
Johnny Pang berkata beliau akan berusaha sedaya upaya membawa aduan dan keperluan penduduk kawasan N68 Tanjong Batu ke persidangan berkenaan, sekali gus memastikan kepentingan masyarakat yang diwakilinya terus disuarakan.




