Perspektif ekonomi lebih luas

KUCHING: Strategi pembangunan yang diumum oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Rabu lebih berstruktur kerana melihat kepada perspektif ekonomi lebih meluas untuk jangka masa panjang.

Timbalan Pengerusi Dewanita Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak Dr. Sharifah Suzana Wan Shukran berkata, ia akan membolehkan aktiviti ekonomi terus bertahan sehingga negara dapat keluar daripada kemelut ekonomi ekoran pandemik Covid-19.

Menurutnya, untuk jangka masa pendek, strategi itu mungkin menguntungkan industri serta organisasi perniagaan lebih besar dan kukuh berbanding pengendali industri kecil yang mungkin mengambil masa lama untuk kembali stabil.

“Dua prinsip teras iaitu melibatkan ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar untuk strategi pasca-Covid-19, bertepatan dengan aspirasi Ketua Menteri yang pernah dinyatakan menerusi Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018- 2022,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Beliau berkata, ini masa terbaik untuk melaksanakan strategi itu kerana pandemik Covid-19 dianggap sebagai ujian sebenar kepada Kerajaan Sarawak untuk melihat keberkesanan ekonomi digital ke atas ekonomi negeri.

“Keadaan sekarang juga memaksa banyak industri membuat penstrukturan semula. Kita juga bakal melihat kelahiran perniagaan baharu berlandaskan teknologi digital,” tambahnya.

Jelasnya lagi, peralihan daripada pembayaran tunai kepada digital merupakan salah satu perubahan yang sangat ketara kini, sekali gus mengubah sistem pengendalian perbankan dan menukar sistem operasi pengusaha dan pembekal.

“Oleh yang demikian, kerajaan perlu memperkuatkan data pusat untuk menyokong keperluan perkhidmatan digital kerana kita sedia maklum keadaan geografi dan infrastruktur Sarawak dalam tempoh ini,” katanya.

Dr Suzana berkata, transformasi sektor pertanian komersial dan pembuatan bermakna pelaburan besar diperlukan bagi mendapatkan teknologi terkini yang mudah diadaptasi dengan keadaan di negeri ini.

“Ini termasuk pelaburan teknologi pertanian dan pembuatan terkini, mesin dan peralatan berimpak tinggi serta latihan.

“Namun kerajaan juga harus melihat sektor pertanian berskala kecil dan bagaimana kita dapat mengubah corak pemikiran dan menggerakkan mereka untuk memanfaatkan teknologi.

“Pada masa yang sama melihat kepada industri pelancongan. Industri ini mungkin tidak dapat pulih dalam jangka pendek atau sederhana kerana kesannya bergantung kepada sejauh mana pandemik ini melanda negara luar.
“Sekarang kita harus mengkaji bagaimana perubahan digital dapat diterap ke dalam industri pelancongan untuk membolehkan industri ini bersifat e-Pelancongan.

“Ini kerana jumlah pelancong antarabangsa sehingga kini memberikan pendapatan kepada sektor pelancongan baik di peringkat makro ataupun mikro,” tambahnya.

Suara Sarawak