SARATOK: Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung/Rumah Panjang yang dimenangi JKKK Kupang Hilir disifatkan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Pelan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
Ahli Dewan Undangan Negeri Krian, Friday Belik menyifatkan pertandingan anjuran Majlis Daerah Saratok (MDS) itu sangat signifikan sebagai inisiatif memperindahkan persekitaran, selain mencerminkan komitmen akar umbi terhadap agenda pembangunan mampan dan perancangan strategik Sarawak.
Menurutnya, ia selari SDG-3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) dan SDG-11 (Bandar dan Komuniti Lestari).
“Dengan memupuk amalan kebersihan dan pengurusan sisa yang sistematik, pertandingan ini menyumbang kepada kesihatan komuniti secara keseluruhan.
“Ini memandangkan persekitaran bersih mampu mengurangkan risiko penyakit berjangkit.
“Justeru, aktiviti gotong-royong dan pengindahan kampung dapat menggalakkan kesihatan mental dan kesejahteraan sosial melalui semangat kerjasama dan kebersamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung/Rumah Panjang di Dewan Pejabat Daerah Saratok, semalam.
Jelasnya, di bawah SDG-11 pula, pertandingan seumpama ini mendorong kampung menjadi komuniti yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan lestari.
“Penglibatan masyarakat dalam merancang landskap, pengindahan taman dan sistem pengurusan sampah menjadikan kampung lebih tersusun dan mesra alam.
“Penekanan terhadap keceriaan, landskap hijau dan ruang awam yang terjaga meningkatkan kualiti hidup penduduk,” ujarnya.
Sementara di bawah PCDS 2030, Friday menyifatkan ia strategi pemerkasaan komuniti dan kelestarian alam sekitar seperti digariskan sebagai teras utama.
Ini tambahnya, kerajaan menyokong agenda pemerkasaan luar bandar, keseimbangan pembangunan bandar, luar bandar dan penggunaan inovasi tempatan untuk mencipta nilai tambah.
“Oleh itu, komitmen terhadap kebersihan dan kelestarian secara tidak langsung menyumbang kepada sektor pelancongan luar bandar dan menjana peluang ekonomi kecil.
“Tuntasnya, pertandingan bukan sekadar usaha fizikal memperindah kawasan, tetapi merupakan pencetus perubahan sosial dan pembangunan mampan, yang sekali gus mencerminkan kesungguhan komuniti dalam menyokong agenda nasional dan Sarawak demi kesejahteraan bersama,” tegasnya.
Untuk kategori kampung menyaksikan JKKK Kupang Hilir dinobatkan sebagai johan, seterusnya pulang dengan hadiah RM2,500 beserta sijil dan hamper.
Bagi Pengerusi JKKK yang juga Ketua Kaum Kupang Hilir, Jepri Johari menzahirkan rasa gembira selepas dinobatkan sebagai johan.
“Ini penyertaan kali kedua. Tahun lalu cuma dapat sagu hati. Namun tahun ini kita kerja lebih keras dan Alhamdulillah, berhasil. Orang kata, kejayaan tidak mendustakan usaha bersungguh-sungguh.
“Apa yang boleh saya kata, JKKK berganding bahu dengan penduduk untuk mencapai kejuaraan.
“Kita tidak mengambil mudah pertandingan kali ini walaupun cuma tiga penyertaan kategori kampung kerana kita tidak mengangan-angankan tempat kedua atau ketiga.
“Lebih daripada itu, fokus utama untuk memastikan kampung sentiasa bersih dan cantik,” katanya.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada ahli JKKK yang berjaya menggerakkan strategi kemenangan bersama-sama penduduk Kampung Kupang Hilir.
Setiausaha MDS, McCrea Joseph Pererra serta barisan kaunselor MDS turut hadir sama.
— FRIDAY Belik (enam kiri) bergambar kenangan bersama-sama ahli JKKK Kupang Hilir pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung/Rumah Panjang di Dewan Pejabat Daerah Saratok, semalam.



