ARTIKEL

Clarissa Rinya Setia telah dinobatkan sebagai Kumang Karnival Kebudayaan Durin 2024.

Pertandingan Kumang tidak merendahkan martabat wanita Dayak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Seorang pemenang Pertandingan Kumang membidas dakwaan seorang ahli akademik dari negeri ini kononnya peraduan itu merendahkan wanita Dayak.

Clarissa Rinya Setia, yang dinobatkan sebagai Kumang Karnival Kebudayaan Durin 2024, berkata acara pertandingan Kumang bukan untuk merendahkan wanita Dayak dan Iban, walaupun diarak serta dipertontonkan di khalayak ramai.

Menurutnya, dahulu objektif utama pertandingan Kumang adalah untuk mempamerkan pakaian tradisional Iban, iaitu ‘ngepan’.

Namun selari dengan peredaran masa, peraduan Kumang diatur bukan sahaja dengan lebih teratur untuk mempamerkan kecantikan ‘ngepan’ dan pemakainya, kata Clarissa, tetapi juga untuk menilai kebijaksanaan dan juga keyakinan peserta.

“Peserta Kumang kini diuji kebijaksanaan dan keyakinan mereka dalam sesi soal jawab.

“Selain itu, para peserta juga perlu mempersembahkan kebudayaan tradisional Iban seperti ‘bejawang’, ‘berpantun’, ‘beganu’ dan ‘ngajat’.

“Inilah tujuan pertandingan Kumang diadakan.

“Ia juga adalah untuk mengekalkan kebudayaan tradisional kaum Iban agar tidak pupus ditelan zaman moden.

“Dalam pada itu, pertandingan ini juga mengajar peserta untuk beramah mesra dengan orang ramai dan bagaimana untuk bekerjasama dengan orang lain.

“Saya tidak melihat pertandingan Kumang ini sebagai sesuatu yang menjatuhkan maruah seorang wanita,” jelas Clarissa di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, juga ada menjelaskan bahawa pertandingan Kumang sebenarnya tidak merendahkan wanita Dayak dan Iban, walaupun diarak di khalayak ramai.

“Ini bukan pertandingan yang tertumpu kepada sama ada peserta cantik ataupun tidak.

“Di sinilah kita mempamerkan ‘ngepan’ (pakaian tradisional wanita Iban), ‘sugu tinggi’ (hiasan kepala), kraf dan banyak lagi,” kata Menteri Kerja Raya itu semasa berucap pada sambutan Majlis Pra-Gawai di Kapit baru-baru ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata pertandingan Kumang berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan warisan budaya Iban dan memperkukuh tamadun masyarakat.

Justeru, katanya, semasa pertandingan, kedua-dua Kumang dan Keling akan memperagakan pakaian tradisional Iban kepada orang ramai

Nanta juga menekankan bahawa, walaupun mempamerkan warisan budaya kita adalah penting, ia harus sejajar dengan inti pati sebenar Kumang.

“Kita semua faham maksud ‘Kumang’, ia menandakan wanita paling cantik.

“Oleh itu, tidak mungkin kita menghantar wanita yang lebih tua untuk bersaing.

“Biar saya jelaskan, ini bukan tentang wanita lebih tua yang tidak cantik.

“Kita ingin mempersembahkan yang terbaik untuk mempamerkan warisan budaya kita kepada orang ramai.

“Oleh itu, jika anda menemukan dakwaan negatif sebegitu, sila tinggalkan komen dan berikan nasihat.

“Lihatlah bangsa lain, mereka bangga mempamerkan warisan budaya mereka untuk memastikan orang ramai mengenalinya,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU