KUCHING: Memupuk nilai agama menerusi laungan azan mampu membina sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai-nilai murni anak-anak, kata Adun Satok Datuk Ibrahim Baki.
Beliau berkata, menerusi Pertanding Lafaz Azan Peringkat Sekolah Rendah Dun Satok, ia dapat memupuk peserta untuk mengumandangkan azan dengan sempurna sekali gus mendalami pemahaman mereka tentang maksud azan.
“Ia adalah langkah awal dalam mendidik anak-anak kita di bangku sekolah untuk mengenal lebih mendalam maksud azan.
“Mereka berlatih melaungkan azan dengan teknik yang betul, dengan kawalan pernafasan dan lontaran suara yang betul supaya mereka dapat melaungkan azan dengan sempurna dari sudut tajwid dan taranum yang boleh memberi impak positif,” katanya berucap pada pertandingan tersebut yang diadakan di SK Rakyat, di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Abdul Samat Gany.
Dalam masa yang sama, beliau berkata pertandingan itu juga memainkan peranan penting dalam menyemai nilai murni dalam anak-anak lebih-lebih lagi pada usia yang muda kerana mereka lebih cepat untuk memahami.
Tambahnya, pertandingan yang bersifat keagamaan itu meningkatkan penguasaan azan bagi membolehkan peserta menjadi pembimbing kepada rakan sebaya sepanjang hayat mereka.
Pertandingan dianjurkan oleh Biro Pendidikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok dan Pusat Khidmat Satok menyaksikan penyertaan 15 peserta.
Bagi Kategori Harapan, Muhammad Ruzain Dzulkarnain Abdullah dari SK Rakyat Bolhassan memenangi tempat pertama dengan menerima hadiah wang tunai RM700. Al-Awwal Azshaly dan Muaz Wafiq Mohamad Yusuf dari SK Merpati Jepang mendapat tempat kedua dan ketiga, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan RM400.
Sementara Kategori Pemula dimenangi Fikri Ilham Mohd Faizal Abdullah dari SK Rakyat yang hadiah wang tunai RM500.
Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi Ikhsan Qassim Khomeini dari SK Merpati Jepang dan Muaz Wafiq Mohamad Yusuf dari SK Rakyat Bolhassan, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM300 dan RM200.








