SARATOK: Dua pemancing bertuah berjaya menggondol hadiah masing-masing RM500 selepas mengumpul hasil pancing paling berat pada pertandingan memancing sempena Pesta Saratok 2025 di sini, semalam.
Abang Abdul Zulfasyraf menjuarai kategori memancing udang, dengan hasil tangkapan 146 gram. Beliau menerima hadiah RM500 beserta hamper.
Sementara Amirudin Sarudin yang berjaya menjinakkan udang seberat 50 gram berada di kedudukan naib johan untuk pulang dengan hadiah RM300 beserta hamper.

Diikuti Collin Andrew di tempat ketiga (udang 43 gram) dan menerima hadiah RM200 beserta hamper.
Manakala Mohd Naziman yang berjaya mendaratkan ikan seberat 208 gram, mengungguli kategori memancing ikan untuk melayakkannya menerima hadiah RM500 beserta hamper.
Dua pencabar terdekatnya, Mohd Syeifa dan Abu Supian terpaksa akur untuk naib johan dan tempat ketiga, masing-masing dengan hasil tangkapan seberat 180 gram dan 151 gram.
Syeifa pulang dengan hadiah RM300 beserta hamper, manakala Abu menerima hadiah RM200 beserta hamper.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kalaka, Mohamad Duri.

Menurut Kasdi, pertandingan memancing merupakan aktiviti yang diadakan setiap tahun.
“Berikutan kekangan kawasan memancing yang agak terhad, edisi kali ini terpaksa dihadkan kepada 60 kaki pancing.
“Bagaimanapun, ia tetap meriah dan berjalan lancar seperti dirancang,” katanya kepada Suara Sarawak.
Beliu menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan kaki pancing untuk menjayakan pertandingan kali ini.
Untuk rekod, pertandingan dianjurkan oleh Pusat Khidmat Adun Kalaka dengan kerjasama Pergerakan Sayap Belia 1828 PBB Cawangan Kalaka.






