Pertingkatkan pertahanan sempadan

KUCHING: Kementerian Pembangunan Luar Bandar diharap mempercepatkan baik pulih tiga jalan balak di kawasan Kapit yang memerlukan perhatian segera.

Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong (gambar) berkata, projek pertama ialah menaik taraf jalan balak ke penempatan semula Tegulang Fasa Enam di Daerah Belaga sejauh 9.5 kilometer.

“Keduanya ialah menaik taraf jalan balak ke penempatan semula Mentalun Fasa Lima di Daerah Belaga sepanjang 17.5 km. “Ketiga ialah menaik tarag jalan Rumah Nyamok ke SMK Baleh sehingga ke Rumah Layang Nanga Kain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan usul ke bawah titah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong semasa Persidangan Parlimen di Putrajaya semalam. Tambah Wilson lagi, Lebuh Raya Pan Borneo dari Bintulu ke simpang Bakun telah siap sepenuhnya namun tiada persimpangan masuk ke pekan Sebauh.

“Malah, orang ramai perlu membuat pusingan sejauh dua kilometer. “Sehubungan itu, saya meminta satu jalan pintas diwujudkan dengan segera agar memudahkan penduduk Pekan Sebauh masuk dan keluar,” jelasnya.

Beliau memohon agar Kementerian Pertahanan membina jaringan keselamatan di laluan sempadan Kalimatan dan Sarawak susulan rancangan Kerajaan Indonesia untuk memindahkan ibu negara ke Kalimantan Timur.

“Selain itu, empat empangan hidroelektrik utama iaitu Empangan Bakun, Empangan Baleh, Empangan Murum dan Empangan Batang Ai terletak di Parlimen Hulu Rajang tidak jauh dari sempadan Kalimantan, Indonesia. “Tahap kesiapsiagaan kita dalam sistem pertahanan negara perlu disegerakan bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini di masa depan,” ujarnya.

Justeru beliau mencadangkan agar kompleks CIQ di Tapak Megah dan Long Singgut Baleh dibina bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ke Malaysia serta mengawal penyeludupan barangan bersubsidi dan dadah ke negara jiran.

“Saya juga telah menangkap 12 rakyat Kalimantan Indonesia semasa tempoh PKP apabila diceroboh kerana tidak dijaga dengan rapi.

“Alasan mereka masuk ke sempadan negara kita adalah untuk mencari kayu gaharu yang dijual dengan harga ribuan ringgit, tetapi kerisauan saya adalah kemungkinan mereka membawa masuk dadah ke Malaysia,” katanya.