ARTIKEL

Pertumbuhan KDNK dijangka lebih tinggi daripada unjuran BNM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencapai tahap tertinggi daripada yang disasarkan antara 4 hingga 5 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2024, menurut Penyelidikan Perbendaharaan dan Pasaran CIMB.

Ini berikutan peningkatan 5.8 peratus tahun ke tahun dalam anggaran awal KDNK bagi suku kedua 2024, kata bank tersebut dalam satu nota penyelidikannya hari ini.

CIMB berkata faktor seperti pasaran buruh yang teguh, perbelanjaan isi rumah yang kukuh, pelaburan yang berterusan, peningkatan dalam realisasi pelaburan langsung asing (FDI), pemulihan perdagangan dan peningkatan pelancongan merupakan penyumbang utama kepada kekuatan ekonomi negara.

Selain itu, ringgit menunjukkan prestasi lebih baik berbanding mata wang asing yang lain, kerana tindakan yang diselaraskan telah mengurangkan tekanan daripada perbezaan kadar, perkembangan global, dan risiko geopolitik.

“BNM memantau aliran tukaran mata wang dua hala yang lebih sihat, disokong oleh pendapatan pelaburan dan penukaran dalam eksport, serta fleksibiliti pantas untuk korporat melabur ke luar negara.

“Ini menegaskan bahawa campur tangan dipacu pasaran dan bukannya permulaan kepada kawalan modal,” katanya.

Sementara itu, CIMB menekankan bahawa Malaysia sedang menghalakan kecairan ke arah pelaburan untuk merangsang pertumbuhan.

“Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dijangka memperuntukkan antara RM400 bilion hingga RM500 bilion ke dalam pelaburan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pelaburan ini adalah penting untuk membangunkan insentif dan ekosistem serantau, seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, Forest City dan pelbagai projek-projek taman perindustrian.
Pelaburan ini juga akan memudahkan penyelarasan pembiayaan dengan projek dan memperluas manfaat FDI melalui rantaian bekalan dalam negara.

CIMB menambah pelaksanaan pembaharuan dan dasar yang lebih kukuh untuk asas domestik Malaysia berkemungkinan akan meningkatkan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia yang mempunyai sasaran 12 bulan kepada 3.75-3.80 peratus.

Bersama dengan sentimen pelabur yang semakin baik dan kemungkinan pemotongan kadar dasar oleh AS, faktor-faktor itu juga dijangka mempengaruhi kadar pertukaran dolar AS kepada ringgit, yang mempunyai sasaran 12 bulan kepada 4.53.
– Bernama

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU