KUCHING: Pertumbuhan penduduk yang semakin perlahan boleh menyebabkan jumlah rumah di Sarawak melebihi bilangan isi rumah pada masa depan, sekali gus memberi cabaran baharu kepada industri perumahan negeri.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, Sarawak kini mempunyai kira-kira 700,000 rumah berbanding sekitar 600,000 isi rumah.
Katanya, keadaan itu menunjukkan terdapat lebih 100,000 unit rumah berbanding jumlah isi rumah, namun ia tidak bermakna Sarawak ketika ini sudah berdepan lebihan rumah.
“Sebaliknya, isu berkenaan turut dipengaruhi faktor pengagihan penduduk, penghijrahan dari luar bandar ke bandar serta pembelian rumah untuk tujuan pelaburan.
“Dalam masa terdekat, kita mungkin mempunyai lebih banyak rumah berbanding jumlah penduduk. Tetapi bukan sekarang.
“Sekarang kita masih belum mempunyai rumah yang mencukupi,” katanya pada Majlis Perasmian Ekspo Hartanah Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, pertumbuhan penduduk bukan perkara yang boleh diubah dalam tempoh singkat, terutama apabila kadar kelahiran semakin rendah dan berlaku perubahan dalam struktur keluarga.
Katanya, perkembangan demografi itu perlu diberi perhatian oleh setiap industri kerana perubahan jumlah dan taburan penduduk akhirnya akan mempengaruhi keperluan serta permintaan dalam sektor masing-masing.
Beliau berkata, perubahan demografi itu turut dapat dilihat menerusi penurunan jumlah murid di sekolah.
“Sebuah sekolah rendah Cina yang pernah saya lawati dahulu mempunyai kira-kira 1,000 murid, namun jumlah itu kini berkurangan kepada sekitar 900 orang termasuk kira-kira 20 peratus murid bumiputera,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, setiap industri perlu mengambil kira kesan perubahan populasi dalam perancangan dan pembangunan masa depan.
Dalam pada itu, Dr. Sim berkata, isu demografi perlu dilihat seiring dengan usaha meningkatkan kadar pemilikan rumah, khususnya dalam kalangan pembeli rumah pertama yang layak.
Menurutnya, pembelian rumah kedua pula perlu dilihat dari sudut berbeza kerana ia bukan lagi semata-mata memenuhi keperluan tempat tinggal, sebaliknya turut berkaitan dengan tujuan pelaburan.
Beliau berkata, perkara itu perlu diteliti supaya pembangunan sektor perumahan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat dan tidak didorong semata-mata aktiviti pelaburan.

