ARTIKEL

Perundangan baharu lindungi bangunan bersejarah di Kuching

Perundangan baharu lindungi bangunan bersejarah di Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Beberapa bangunan, monumen dan pokok bersejarah di Kuching akan dikenal pasti untuk dimasukkan dalam zon warisan menerusi perundangan baharu bagi memastikan aset berkenaan terus dipelihara dan dipulihara untuk generasi akan datang.

Menteri Pelanteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, antara kawasan yang akan diberi tumpuan pada peringkat awal ialah Lebuh Gambier, Jalan Main Bazaar dan Lebuh India.

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap pada sidang media.

Katanya, kawasan berkenaan mempunyai pelbagai bangunan dan monumen bersejarah termasuk Mahkamah Lama, Square Tower dan Masjid India yang perlu dikenal pasti untuk tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan.

“Jadi, kita akan mewartakan dan menzoningkan serta mengenal pasti bangunan yang perlu dipulihara dan dipelihara,” katanya.

“Jadi dengan semua perkara ini diperundangkan, akan ada undang-undang tertentu untuk mengawal dan menjaga bangunan serta monumen lama ini supaya ia dapat dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Inisiatif Program Awam Voices of Old Kuching (OKSH-TCP) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha tersebut turut merangkumi kedai lama dan premis persendirian bagi mengelakkan bangunan bersejarah dirobohkan atau diubah menjadi bangunan moden.

Katanya, kerajaan perlu mempunyai perundangan yang dapat mengawal dan menjaga bangunan serta monumen lama, termasuk yang berada di bawah pegangan pihak swasta.

Abdul Karim berkata, sebelum perundangan berkenaan diperkenalkan, kerajaan akan mengadakan libat urus dengan pemilik premis dan pihak berkepentingan di kawasan terlibat.

“Kita tidak akan merobohkan atau melakukan sesuatu secara paksa begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan berbincang dan menerangkan kepada pemilik bahawa aset berkenaan perlu dilindungi untuk masa depan, termasuk mempertimbangkan bayaran pampasan sekiranya diperlukan.

“Sekiranya pampasan perlu dibayar, pampasan akan dibayar,” katanya.

Menurutnya, bangunan yang telah diwartakan juga mungkin perlu melalui usaha mencantikkan dan mengecat semula bagi memastikan kawasan warisan kelihatan lebih terurus.

Beliau berkata, penzonan tersebut penting untuk memastikan pembangunan moden, termasuk pelaksanaan Transit Aliran Autonomi (ART) di Kuching, tidak menjejaskan bangunan dan tapak bersejarah.

“Kalau kita tidak mengaturnya dengan betul, sesetengah bangunan ini mungkin dirobohkan ataupun terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata pokok bersejarah turut akan dipertimbangkan untuk diwartakan sebagai warisan, termasuk pokok kapas di Padang Merdeka.

Katanya, pokok berkenaan telah wujud sejak pembentukan Malaysia pada 1963 dan perlu dilindungi daripada ditebang.

“Malah pada hari pembentukan Malaysia pada 1963, saya melihat pokok kapas itu sudah ada; ia adalah warisan!” katanya.

Abdul Karim berkata, proses pewartaan akan dilakukan secara berperingkat kerana terdapat banyak bangunan, monumen dan aset warisan yang dikenal pasti di seluruh Sarawak.

“Jadi, kita akan melihat satu per satu, yang mana akan diberi keutamaan untuk pewartaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata usaha membangunkan zon warisan di Kuching turut membuka peluang kepada bandar raya berkenaan untuk memohon pengiktirafan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia pada masa depan.

Katanya, kerajaan sedang merujuk model pemeliharaan warisan di Pulau Pinang dan Melaka yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.

“Kita juga sedang dalam proses tersebut dengan harapan apabila penzonan, pemuliharaan dan pemeliharaan monumen serta bangunan warisan di kawasan yang dizonkan itu selesai, kita juga suatu hari nanti boleh memohon kepada UNESCO supaya Kuching menjadi sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Inisiatif Program Awam Voices of Old Kuching (OKSH-TCP) dilancarkan bersempena Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik ICOMOS ke-22 yang akan berlangsung di Kuching dari 17 hingga 24 Oktober ini.

Abdul Karim berkata, Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik ICOMOS 2026 yang digelar sebagai ‘Olimpik Warisan Budaya’ akan menghimpunkan lebih 1,500 delegasi dari 110 negara.

Katanya, usaha pemeliharaan warisan bukan hanya tanggungjawab kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama kementerian negeri, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan, institusi akademik serta komuniti akar umbi.

Beliau berkata, penglibatan komuniti juga penting dalam memastikan pemeliharaan pengetahuan tradisional, pembangunan pelancongan berasaskan komuniti, pemasaran digital dan industri kreatif dapat dilaksanakan secara mampan.

BERITA LAIN

Empat projek naik taraf sistem elektrik di Betong

KUCHING: Empat projek naik taraf sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi

BERITA TERBARU

Empat projek naik taraf sistem elektrik di Betong

KUCHING: Empat projek naik taraf sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi