KUCHING: Angka peruntukan dan sasaran pertumbuhan ekonomi Sarawak masih belum mencukupi dan harus diperkukuh di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Senator Datuk Ahmad Ibrahim menegaskan, Sarawak hanya disasarkan pertumbuhan 4.6 peratus, sedangkan Sabah 5.8 peratus dan Semenanjung 5.0 hingga 5.2 peratus, sekali gus dianggap tidak adil untuk sebuah wilayah yang menyumbang minyak, gas, hidroelektrik dan kini hidrogen.
Justeru, beliau menggariskan beberapa langkah penting untuk memperkukuh pelaksanaan RMK-13 di Sarawak, antaranya peruntukan adil dengan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada RM430 bilion peruntukan pembangunan nasional mesti diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.
Selain itu, katanya, Dana Infrastruktur Khas meliputi Pan Borneo, Trans Borneo, jambatan sungai besar serta liputan 100 peratus internet berkelajuan tinggi di sekolah pedalaman menjelang 2030.
Autonomi fiskal hasil minyak, gas, REE dan karbon kredit juga mesti diagih dengan lebih adil, bukan sekadar royalti minimum.
Ahmad turut mencadangkan pelaburan pendidikan dan kesihatan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada bajet pendidikan dan kesihatan nasional (RM6.7 bilion dan RM4 bilion) untuk universiti teknikal, TVET, hospital pakar dan kemudahan luar bandar di Sarawak.
Ia termasuk mekanisme Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diperkukuh dengan geran khas yang perlu dimaktubkan dalam undang-undang, bukan hanya janji politik.
“Apa yang Sarawak tuntut bukanlah belas kasihan tetapi keadilan dalam hasil, pembangunan dan semangat MA63.
“Sarawak bukan anak tiri tetapi rakan kongsi. Jika Sarawak dibangunkan setara, Malaysia akan teguh sebagai sebuah negara bangsa,” katanya dalam perbahasan RMK-13 (2026–2030) di Dewan Negara, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad turut menekankan beberapa bidang keutamaan Sarawak dalam RMK-13 seperti ekonomi desa dan keterjaminan makanan, dengan Sarawak berpotensi menjadi jelapang padi baharu Malaysia serta mengurangkan import makanan yang kini mencecah RM75 bilion setahun.
Selain itu, pelancongan berasaskan komuniti dengan STIZ mesti memberi manfaat terus kepada penduduk melalui inap desa, makanan tradisional dan seni budaya.
Ia termasuk aspek keselamatan dan pertahanan, dengan cadangan penubuhan pangkalan maritim tambahan di Bintulu dan Miri serta penggunaan dron pintar di sempadan.
Beliau turut menekankan isu sosial dan belia, termasuk tindakan tegas terhadap judi haram, sokongan kesihatan mental belia serta perlindungan sosial pekerja gig.



