KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara konsisten menyediakan peruntukan kepada wakil rakyatnya untuk program dan projek yang bertujuan memberi manfaat dan membantu rakyat.
Penyandang Dun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata setiap wakil rakyat GPS diberikan peruntukan setiap tahun seperti RM5 juta untuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan RM2 juta untuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Selain itu RM1 juta untuk Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dan RM1 juta untuk Program Tabung Fasilitasi Pertanian (AFF).
“Sebaik sahaja menjadi YB, peruntukan sudah ada untuk kami gunakan bagi membangunkan kawasan dan membantu rakyat.
“Jadi kenapa tidak pilih GPS? Rakyat mesti terus menyokong GPS kerana peruntukan sentiasa ada,” katanya ketika ditemu-bual Suara Sarawak.
Malah, katanya wakil rakyat juga boleh meminta peruntukan tambahan jika perlu kerana kerajaan GPS sanggup berbelanja untuk kepentingan rakyat.

Justeru, Henry menegaskan GPS tidak menyediakan projek dan turun padang hanya apabila hampir waktu pilihan raya, sebaliknya turun padang dan membantu rakyat sepanjang masa.
Sebaliknya, beliau berkata kawasan di bawah wakil rakyat pembangkang tidak akan menerima peruntukan itu yang akhirnya merugikan rakyat.
Sementara menyentuh mengenai pelaksanaan PPRMS di kawasannya, Henry berkata telah membantu menaik taraf sebanyak 417 buah rumah golongan miskin, dengan jumlah peruntukan RM3.5 juta.
Beliau berkata dengan bantuan kerajaan GPS itu, mereka yang memerlukan sekurang-kurangnya dapat hidup dengan lebih selesa dan menumpukan perhatian mencari rezeki untuk menyara keluarga.
“Dengan PPRMS, sekurang-kurangnya mereka yang memerlukan tidak perlu memikirkan dan bimbang tentang keadaan rumah mereka, seperti bumbung bocor atau tidak mempunyai dinding atau tandas yang sesuai.
“Sebaliknya, mereka mempunyai lebih banyak masa untuk memikirkan membina aspek utama mereka seperti membawa pulang makanan, bekerja dan memastikan anak-anak mereka dapat tinggal di rumah dan belajar dengan selesa.
“Inilah sebabnya PPRMS sangat penting,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata program pembekalan air dan elektrik turut diteruskan termasuk Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak (RES) dan Dana Pemohonan Lewat atau Tambahan (ALAF).