KUCHING: Peruntukan berjumlah RM5.8 bilion yang disalurkan kepada Sarawak menerusi Belanjawan 2024 perlu diuruskan dengan baik agar dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengumuman tersebut bukan hanya melibatkan dana pembangunan, tetapi juga terdapat bantuan yang akan diberikan melalui kementerian serta Pemberian Khas interim berjumlah RM300 juta.
“Justeru, sudah pasti ia melibatkan dana yang besar dan kita tidak mahu melihat peruntukan seperti ini nanti dibelanjakan dengan tidak teratur.
“Kita tidak akan mempunyai masalah selagi dana itu digunakan untuk menaik taraf kemudahan atau membantu penganjuran acara seperti pelancongan supaya ia dapat ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu juga berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran Safari Rakit Padawan 2023, di Hotel Serapi, di sini, semalam.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak menerusi agensi perlu merangka satu cara untuk mengatur dana belanjawan termasuk dari segi pengagihan dana yang mungkin boleh mengehadkan pengagihan dalam bulan-bulan tertentu dan sebagainya.
Sementara, mengenai kadar Pemberian Khas interim untuk Sarawak dan Sabah yang telah meningkat kepada RM300 juta berbanding RM16 juta bagi Sarawak dan RM125.6 juta bagi Sabah sebelum ini, beliau memberitahu ia merupakan satu lonjakan besar.

