Peruntukkan RM1 juta untuk projek sumber air Tatau

TATAU: Kementerian Bekalan Air Sarawak menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi projek membesar dan mendalamkan lagi takungan sumber air Tatau.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Muda Bekalan Air Sarawak Datuk Liwan Lagang semasa mengadakan lawatan bersama Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang Dan Adat Bumiputera) Sarawak ke projek pembesaran Loji Rawatan Air Tatau, hari ini.

Lawatan bertujuan memastikan loji baharu bekalan air Daerah Tatau dapat beroperasi dalam masa terdekat bagi mengatasi masalah bekalan air di Daerah Tatau.

Beliau dan rombongan turut diberi taklimat oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bintulu mengenai status terkini projek pembesaran loji air Tatau.

Pihak JBALB Bintulu turut diminta untuk melaksanakan ujian pengoperasian secepat mungkin.

Mengenai perkara itu, jurucakap jabatan berkenaan memaklumkan ujian penuh akan diadakan pada Selasa ini, 25 Jun, dan sekiranya tiada apa-apa masalah semasa ujian dijalankan, loji baharu akan beroperasi sepenuhnya.

Sementara itu, John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kakus berharap dengan beroperasinya loji baharu itu kelak, dapat menangani sekali gus menyelesaikan masalah bekalan air di Daerah Tatau.

Jurutera Bahagian, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) Lai Kien Hong dan Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Calvin Ligong hadir sama.

 

Suara Sarawak