KUCHING: Seorang pesara kerajaan lesap wang simpanannya sebanyak RM120,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon (Phone Scam), akibat panik dan takut selepas didakwa terlebih mengambil ubat sebelum dikaitkan dengan kes penggubahan wang haram.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pada pertengahan Jun lalu kira-kira jam 3.45 petang, lelaki berusia awal 60-an berasal dari Daerah Padawan itu telah menerima satu panggilan telefon dari seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Kesihatan Hospital Kedah.
Katanya suspek mengatakan mangsa mempunyai rekod terlebih mengambil ubat, sebelum talian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk semakan lanjut.
Menjelas lanjut, beliau berkata mangsa kemudian bercakap dengan Inspektor Wan Ameena dan suspek mengatakan hasil semakan lanjut mendapati terdapat rekod mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan boleh ditangkap.
“Suspek telah meminta mangsa bekerjasama dengan menyerahkan butiran akaun bank kononnya untuk siasatan lanjut.
“Mangsa yang panik dan takut kemudian memberikan nombor kad ATM beserta nombor pin kepada suspek, selepas itu suspek meminta mangsa pergi ke bank mengeluarkan wang di dalam akaun ASB sebanyak RM120,000 dan wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank milik mangsa sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Azman menambah mangsa turut dinasihatkan oleh suspek untuk tidak berhubung dengan pihak lain sementara siasatan dijalankan.
Beliau berkata pada 3 Julai lalu, mangsa kemudian menyemak wang di dalam akaun bank miliknya dan mendapati wangnya berkurangan sebanyak RM120,000.
Katanya hasil semakan lanjut juga mendapati terdapat lima kali transaksi pindahan wang berlaki antara tarikh 1 dan 2 Julai ke akaun bank atas nama individu tidak dikenali.
Mohd Azman berkata mangsa yang menyedari telah ditipu kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.



