ARTIKEL

Pesara rugi lebih RM500,000, diperdaya sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADAWAN: Seorang pesara lelaki berusia 70-an dari Padawan kerugian lebih RM500,000 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, kejadian berlaku pada pertengahan Mac lalu apabila mangsa tertarik dengan satu iklan promosi kelas pelaburan percuma yang dipaparkan di sebuah laman sesawang menggunakan nama Himin International Finance Academy (HIFA).

“Mangsa mengisi maklumat peribadi dalam satu pautan yang disediakan syarikat terbabit.

“Tidak lama selepas itu, mangsa dihubungi oleh individu tidak dikenali yang kemudian menambahkannya ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang dinamakan Homin International Finance Academic,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek yang bertindak sebagai pentadbir kumpulan terbabit mengarahkan mangsa memuat turun sebuah aplikasi dinamakan PHCview kononnya bagi memulakan proses pelaburan.

Mangsa seterusnya membuat beberapa transaksi pembayaran secara berperingkat ke akaun yang diberikan suspek, membabitkan jumlah keseluruhan kerugian kira-kira RM500,000, jelasnya.

Mancha berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas terbaca satu laporan akhbar yang menjelaskan modus operandi penipuan pelaburan dalam talian yang hampir sama dengan yang dialaminya.

Setakat laporan dibuat, mangsa tidak menerima sebarang pulangan atau keuntungan seperti dijanjikan pihak terbabit.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan tawaran pelaburan yang dipromosikan di media sosial atau laman web mencurigakan.

“Semak terlebih dahulu latar belakang syarikat dan tawaran pelaburan sebelum membuat sebarang transaksi kewangan. Rujukan boleh dibuat melalui laman web Bank Negara Malaysia (BNM) di www.bnm.gov.my atau talian BNM TELELINK 1-300-88-5465 serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di www.sc.com.my atau 03-6204 8999,” ujarnya.

Beliau turut menggesa orang awam yang menjadi mangsa penipuan siber seperti phone scam; love scam dan pinjaman tidak wujud dan sebagainya agar segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian kecemasan 997 terutama jika transaksi kewangan baru sahaja dilakukan.

Pihak polis memandang serius isu penipuan dalam talian ini dan akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengekang kegiatan jenayah siber yang semakin berleluasa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU