BINTULU: Seorang pesara swasta mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas satu pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan harta wang berjumlah RM155,820, empat tahun lalu.
Tertuduh Shamsuddin Abdul Razak, 67,membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Hakim Steve Ritikos.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa telah menyeleweng satu cek pembayaran berjumlah RM155,820 untuk kegunaan sendiri dengan memasukan wang terbabit ke akaun peribadi di sebuah bank di Jalan Galau, antara jam 8.30 pagi hingga 11.59 malam, 11 Mac 2019.

Cek terbabit daripada Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Bintulu sebagai pampasan kepada masyarakat kaum Melayu di Sungai Tubau hingga ke Sungai Jelalong dan Bazar Tubau serta Sebauh untuk pembelian tanah rizab penduduk asal (Pertanian) di Daerah Tanah Rasan sebagai Skim Perluasan kampung Melayu Tubau oleh Kerajaan Negeri.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, sebatan dan denda.
Walau bagaimanapun, tertuduh dibebaskan dengan jaminan tunai RM8,000 beserta dua penjamin.
Steve menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 10 April depan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur SPRM Nur Nisla Abdul Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.