KUCHING: Semangat tinggi yang ditonjolkan oleh 90 kontinjen mewakili pelbagai suku kaum Dayak di Sarawak jelas terpancar menerusi kemeriahan Perarakan Gawai Dayak 2025 yang berlangsung di sekitar Bangunan Tun Jugah.
Setiap peserta tampil penuh bangga dalam busana tradisional masing-masing, sekali gus menyerlahkan keunikan serta kekayaan adat dan budaya masyarakat Dayak yang berbilang kaum.
Sehubungan itu, Suara Sarawak turut berkesempatan menemu bual beberapa peserta daripada pelbagai latar belakang kaum bagi berkongsi pengalaman dan makna penyertaan mereka dalam perarakan bersejarah ini.

“Ini merupakan kali kedua saya telah menyertai Perarakan Gawai Dayak dan saya mewakili Persatuan Anak Borneo Semenanjung (ABS). Jadi, pada hari ini kelainan yang dapat saya lihat ialah lebih ramai kontinjen yang ikut serta memeriahkan lagi perarakan kali ini.
Tahun ini, saya memilih untuk memakai pakaian tradisional orang Iban dan saya sangat bangga dapat memperagakan pakaian kaum orang Iban kepada masyarakat tempatan dan pelancong. Oleh itu, saya berharap agar rakyat Sarawak jangan malu untuk menyertai perarakan seperti ini untuk menggalakkan budaya dan adat resam kita.”

“Saya bersyukur kerana saya berpeluang untuk ikut perarakan seperti ini buat kali ketiga sejak tahun 2023 lagi.
Buat tahun ini, persatuan kami lebih bersedia dari segi pemilihan pakaian setelah belajar daripada kesilapan pada tahun-tahun sebelumnya. Oleh itu, saya memilih untuk memakai sugu tinggi, memakai tanggu dan kain buri.
Walaupun cuaca hari ini sangat panas, tetapi saya bangga dan bersemangat untuk perarakan hari ini kerana inilah masa kita memperagakan kebudayaan dan keunikan kita yang cantik dan menarik. Ini juga menunjukkan hubungan kita dengan semua suku kaum di Sarawak sangat baik.”

“Pada hari ini, saya sangat teruja untuk ikut serta dalam perarakan ini buat kali kedua kerana saya melihat kemeriahan sambutan perarakan bagi tahun ini cukup memberangsangkan daripada masyarakat kaum Dayak.
Malah, saya tidak sabar untuk bersama-sama berarak ke depan bersama kontinjen yang lain. Bahkan, saya telah memakai baju Gagong dan lanjang manakala kaum wanita dalam kontinjen kami pada hari ini memakai kain sungkit dan kain buri.”

“Saya hari ini mewakili Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (PERANTIS) dan ini kali ketiga saya menyertai Perarakan Gawai Dayak.
Perarakan seperti ini sentiasa menjadi pengalaman yang indah buat saya kerana kita dapat melihat kepelbagaian dan keharmonian masyarakat di Sarawak. Oleh itu, saya berharap agar program seperti ini wajar diadakan pada setiap tahun agar lebih ramai kaum Dayak yang lain berpeluang ikut serta memperagakan pakaian tradisional mereka dalam perarakan ini.”

