Trending

Pesta Daro buka pintu rezeki

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

MUKAH: Keadaan cuaca yang tidak menentu tidak menghalang orang ramai untuk membanjiri pesta Daro bermula semalam.

Kepelbagaian barangan unik dan menarik yang dijual oleh peniaga menjadi tarikan utama kepada pengunjung untuk mengunjungi tapak pesta yang terletak di Uptown Daro itu.

Menurut mereka, temasya kali ini bukan sahaja membuka peluang ekonomi tetapi juga pintu rezeki terutama kepada penjaja kecil.

Pengunjung, Abdul Fadillah Mutalib, 30, dari Sibu, berkata, Pesta Daro mempunyai tarikan tersendiri berbanding pesta lain yang pernah dikunjunginya.

Ujarnya, selain mempamerkan ciri-ciri kebudayaan masyarakat setempat pesta itu juga menjadi platform kepada pengunjung untuk menyaksikan sendiri pembangunan pesat daerah Daro.

TIDAK menang tangan, salah seorang peniaga sibuk melayani pelanggan di tapak Pesta Daro, semalam

“Saya ke sini untuk menghabiskan cuti bersama keluarga. Suasananya memang cukup meriah. Paling menarik gerai jualan di tapak pesta yang menyediakan banyak pilihan kepada pengunjung,”katanya kepada Suara Sarawak.

Bagi peniaga makanan, Firdaus Dollah, 34, pula, kepelbagaian tarikan di tapak Pesta berkenaan membantu perniagaan mereka di situ.

Pesta kali ini katanya, lebih baik dan besar berbanding meriah dengan kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus datang sejak pagi.

“Saya berharap penganjuran pesta ini diteruskan dengan pelbagai tarikan baharu buat pengunjung. Sudah semestinya bagi peniaga seperti kami, ia adalah pintu rezeki,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Daro, Bujang Rahman Seli berkata, pesta yang bermula 29 Mac hingga 7 April itu merupakan platform penyatuan, memupuk semangat muhibah dan kekitaan dalam kalangan penduduk tanpa mengira latar belakang.

“Pada masa sama pesta ini juga membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat menjana pendapatan tambahan menerusi jualan gerai-gerai makanan dan barangan,” katanya.

Beliau berkata, selain acara hiburan, penganjur juga menyediakan acara lain bagi memeriahkan lagi sambutan pesta antaranya ceramah dan pameran daripada pelbagai agensi termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Saito University College.

Pada masa yang sama katanya, penganjur turut mengadakan pertandingan mewarna, pertandingan memasak, pertandingan poco-poco, menyumpit, sukan air, autoshow dan lain-lain lagi.

“Kita juga mengadakan seminar keusahawanan, ceramah anti dadah, malam kebudayaan dan pertandingan futsal. Kehadiran beberapa artis terkemuka tempatan juga memeriahkan lagi pesta ini,” ujarnya.

 

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru

Regu Azam raja libas

REGU Azam dari Bintulu muncul juara Kejohanan Raja Pisak Ragak