SIBU: Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) 2023 akan membuka tirainya pada tahun ini bermula dari 14 Julai hingga 23 Julai depan. Acara tahunan anjuran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) itu akan berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang.
Timbalan Pengerusi MPS Kaunselor Mohammed Abdullah Izkandar Rosely berkata, program selama 10 hari itu akan dihiasi dengan tiga pentas tradisi iaitu Pentas Cina yang akan diadakan pada 15 Julai diikuti Pentas Melayu/Melanau (19 Julai) dan Pentas Dayak (21 Julai).
Menurutnya, lagi, kesemua acara pentas tersebut akan bermula dari jam 7 hingga 10.30 malam. Turut diadakan juga, jelas beliau ialah Gerai Seni, Budaya dan Pameran seperti tahun lepas.
“Malam Antarabangsa akan menjadi acara tumpuan bagi BCF 2023 pada 22 Julai. “Malam Antarabangsa adalah acara khas untuk menyerikan lagi BCF pada tahun ini,” katanya pada sidang media di sini.
Izkandar mengatakan pada Malam Antarabangsa BCF 2023, ia akan menampilkan persembahan daripada artis terkenal dari Sabah, Atmosferah, yang popular dengan lagu Original Sabahan.
Beliau menjelaskan butiran lain untuk Malam Antarabangsa BCF 2023 akan diumumkan secara berperingkat kelak.
“Kami akan sentiasa mencari idea- idea dan bersedia untuk merangka pelbagai persembahan untuk memeriahkan Malam Antarabangsa BCF 2023 ini.
Oleh sebab itu, kami belum boleh mendedahkan butiran acara keseluruhannya,” tegas beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur BCF 2023.
Sementara itu, bagi malam terakhir BCF iaitu 23 Julai, katanya, final Kumang Borneo akan menyerikan lagi majlis disamping pertunjukan bunga api untuk mengakhiri pesta itu.
“Sambutan tahun ini bertemakan flora dan fauna dengan persembahan yang berwarna-warni dari pelbagai komuniti.
“Apa yang menarik di tengah- tengah padang dataran ialah permainan Itut yang merupakan permainan tradisional kaum Melanau akan ditunjukkan dan orang ramai juga berpeluang merasai permainannya,” katanya.
Selain gerai makanan dan minuman tambahnya, BCF 2023 akan turut mengadakan Pameran TRADEX di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II yang mempamerkan pelbagai produk jualan, perkhidmatan, pesta ria dan sebagainya.



