MUKAH: Pesta N58 Balingian@Penakub Ulu Mukah mendapat sambutan menggalakkan apabila penduduk setempat hadir memeriahkan pelbagai aktiviti disediakan sepanjang tiga hari penganjurannya bermula hari ini hingga Ahad.

Pesta yang menampilkan pelbagai pengisian itu menyediakan aktiviti untuk semua lapisan masyarakat, termasuk Perlumbaan Perahu Bidar yang menjadi antara acara tumpuan.
Turut diadakan Malam SABERKAS Bermukun – mengetengahkan seni dan warisan budaya masyarakat Sarawak, selain pertandingan SABERKAS N58 Idol yang memberi peluang kepada bakat tempatan menyerlahkan kebolehan masing-masing.
Selain itu, Program Agro Jualan Sarawakku Sayang membuka ruang kepada usahawan dan pengusaha tempatan memasarkan pelbagai hasil pertanian serta produk keluaran mereka kepada pengunjung.

Pada masa sama, pengunjung turut berpeluang menyertai dan menyaksikan pelbagai aktiviti menerusi pameran serta sukaneka anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), selain mengunjungi gerai jualan yang disediakan sepanjang pesta berlangsung.
Penganjuran pesta itu bukan sahaja menjadi medan hiburan dan riadah, malah menyediakan ruang untuk mengetengahkan bakat, budaya serta produk tempatan.
Pesta N58 Balingian@Penakub Ulu Mukah diharap terus menjadi platform yang mengeratkan hubungan masyarakat setempat selain merancakkan aktiviti sosial dan ekonomi di Kampung Penakub Ulu dan kawasan sekitarnya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, turut meninjau persiapan program berkenaan, semalam.
Tinjauan itu dilakukan bagi memastikan segala persiapan dan pengisian program berjalan lancar menjelang penganjuran pesta.



