DARO: Pelbagai aktiviti serta pengisian menarik akan diadakan sempena Pesta Pulau Bruit 2025 yang berlangsung di Kampung Semop dan Tekajong selama tiga hari bermula 26 hingga 28 September ini.
Antara program yang diadakan untuk semua lapisan masyarakat termasuk pesta sukan rakyat, persembahan kebudayaan, pameran serta taklimat daripada agensi kerajaan.
Selain itu, orang ramai turut berpeluang menyaksikan persembahan pentas oleh artis jemputan dan memenangi hadiah menerusi cabutan bertuah.
Berkonsepkan Mini Agro Feast, Pesta Pulau Bruit kali ini juga mempromosikan warisan budaya, hasil pertanian, produk tempatan dan potensi pelancongan pulau tersebut.
Sepanjang pesta ini berlangsung, pelbagai jualan hasil tani dan laut akan disediakan oleh penduduk tempatan.
Dalam pada itu, penganjuran pesta berkenaan bukan sahaja menggalakkan pelibatan masyarakat setempat dalam aktiviti sosial dan kebudayaan, malah menjadi platform mempromosikan hasil tani serta produk laut tempatan kepada pengunjung.
Penganjur menjangkakan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar daerah, sekali gus menyumbang kepada peningkatan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.

