SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menyifatkan penganjuran Pesta Saratok Edisi 2025 dengan kemuncak Regata Kalaka sangat berjaya.
Menurutnya, semua 21 aktiviti yang disusun atur berjalan dengan lancar serta meriah.
“Boleh dikatakan penganjuran edisi kali ini sangat berjaya dengan kehadiran ramai pengunjung sekitar 30,000 sepanjang pesta.
“Alhamdulillah, ini satu penanda aras baharu setelah Pesta Saratok tersenarai dalam Kalendar Pelancongan Sarawak. Tahun akan datang lebih hebat,” katanya kepada Suara Sarawak.
Pesta Saratok pastinya membuka mata masyarakat luar bahawa Bandar Ikan Labang ini mempunyai tarikannya tersendiri.
“Bukan hanya berhibur tetapi ruang menonjolkan bakat muda, membuka peluang ekonomi kepada masyarakat tempatan, mengetengahkan budaya serta warisan berharga.
Mohamad menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak terutama Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid dan Pusat Khidmat ADUN Kalaka.
Pada malam penutupan pesta, beliau turut menyaksikan Pertandingan Bertandak Terbuka anjuran Pergerakan Sayap Belia 1828 Parti PBB Cawangan Kalaka, seterusnya menyampaikan hadiah.
Dengan paluan gendang serta kemerduan suara Dayang Azura diiringi pemuzik iringan Awangko Karma Pangiran Joll, pasangan Cilik Kabong berjaya menambat hati juri untuk bergelar juara, sekali gus pulang dengan wang tunai RM500.
Naib juara milik pasangan Selendang Mayang, sementara Gemersik Spaoh di tangga ketiga.



