ARTIKEL

FRIDAY ketika hadir mesyuarat penyelarasan penganjuran Pesta Saratok dan Krian Fest Nature Challenge Edisi Keempat yang dijadual berlangsung pada Oktober depan di Saratok.

Pesta Saratok tampilkan lapan program menarik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARATOK: Penglibatan lebih ramai masyarakat setempat dan pengunjung luar amat diharapkan bagi memeriahkan dua acara utama yang bakal berlangsung di Saratok pada Oktober depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, berkata sambutan menggalakkan bukan sahaja akan memeriahkan Pesta Saratok dan Krian Fest Nature Challenge Edisi Keempat, malah mampu mengangkat Saratok sebagai lokasi pilihan untuk aktiviti komuniti, sukan, rekreasi dan pelancongan.

Menurutnya, kedua-dua acara berkenaan menyediakan pelbagai pengisian yang mampu menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, selain menjadi platform untuk mengeratkan hubungan serta menghidupkan suasana di Saratok.

“Awal bulan nanti kita akan menganjurkan Pesta Saratok pada 2 hingga 4 Oktober, manakala Krian Fest Nature Challenge Edisi Keempat pula dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 Oktober.

“Saya berharap kedua-dua acara ini dapat berlangsung dengan lebih meriah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat tempatan mahupun pengunjung dari luar,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Beliau terdahulu menghadiri mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid.

Mengulas Pesta Saratok, beliau berkata edisi kali ini mengetengahkan lapan program tonggak yang merangkumi pelbagai aktiviti sukan, hiburan, rekreasi serta jualan dan pameran.

Antaranya ialah regata lumba perahu di Sungai Krian, pertandingan badminton, e-sukan, bola sepak (VIP), gasing, Battle of The Band, pesta ria serta jualan dan pameran.

“Pesta Saratok diharap terus menjadi acara yang dinanti-nantikan masyarakat setiap tahun.

“Kita mahu pengisiannya terus berkembang dan memberi ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama mengambil bahagian terutama dalam meningkatkan ekonomi masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, Krian Fest Nature Challenge Edisi Keempat pula mengetengahkan keunikan alam semula jadi kawasan Krian menerusi aktiviti rekreasi luar yang mencabar dan menguji ketahanan peserta.

Friday berkata, antara pengisian utama ialah larian alam di kawasan Lempa, futsal melibatkan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di Engkala, selain pameran serta jualan.

Menurutnya, kesinambungan penganjuran kedua-dua acara itu membuktikan usaha berterusan untuk menjadikan aktiviti komuniti, sukan dan rekreasi sebagai sebahagian daripada pengisian pembangunan masyarakat di kawasan berkenaan.

Katanya, penglibatan golongan belia khususnya amat penting kerana mereka bukan sahaja dapat menyertai aktiviti yang disediakan, malah berpeluang mencungkil bakat, membina jaringan persahabatan dan mengembangkan potensi diri.

“Kita mahu masyarakat mengambil peluang ini untuk bersama-sama memeriahkan acara, di samping mengeratkan hubungan sesama kita.

“Lebih penting, kita mahu melihat Saratok terus hidup dengan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat dan pada masa sama mampu menarik lebih ramai pengunjung,” ujarnya.

Beliau turut berharap kerjasama semua pihak dapat diperkukuh bagi memastikan kedua-dua acara berjalan lancar.

Friday berkata, sokongan berterusan masyarakat penting bagi memastikan penganjuran acara seumpama itu dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU