KUCHING: Perkarangan Tasik Biru di Bau bakal dibanjiri pengunjung pada Pesta Tasik Biru 2025 yang disusuli dengan perasmian Tasik Biru Resort City bersempena Sambutan Tahun Ke-205 daerah Bau pada 15 hingga 25 Mei 2025.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep berkata acara itu dijangka dirasmikan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 15 Mei di Pentas Utama, Tasik Biru Resort City, mercu tanda pembangunan baharu yang berpotensi menjadi pemangkin utama kepada sektor pelancongan, ekonomi tempatan dan pembangunan komuniti di Bau.
Menjelas lanjut, beliau berkata pelbagai acara menarik telah dirancang dalam sepanjang 11 hari penganjuran acara tersebut seperti pertandingan Jong Regatta, acara ikonik yang mengangkat warisan dan keunikan masyarakat di Daerah Bau.
“Selain itu Karnival Sukan Bau termasuk liga bola sepak, E-sports, badminton, pertandingan gusti lengan, memasak tradisional, zumba, Talent Night serta Miss & Mrs Tasik Biru,” katanya pada sidang media di
pejabatnya, bangunan Baitulmakmur 1 di Petra Jaya hari ini.
Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru menambah Unity Parade juga akan diadakan pada 24 Mei yang mencerminkan semangat perpaduan pelbagai etnik di Bau.
Pada masa sama, beliau berkata orang ramai juga berpeluang menyaksikan perasmian lampu jambatan Tasik Biru dan persembahan bunga api.
Dalam pada itu, Henry berkata sepanjang tempoh pesta, Gawai Bazaar Bau akan beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 11 malam, menampilkan produk kraftangan, makanan tempatan dan pelbagai barangan komuniti.
“Tidak dilupakan juga adalah persembahan hiburan rakyat, busking dan acara pentas yang akan memeriahkan suasana malam di Tasik Biru Resort City,” katanya.

