BINTULU: Pesta Tumbina 2025 dijangka mencatat kehadiran antara 30,000 hingga 35,000 pengunjung, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara acara komuniti terbesar di wilayah tengah Sarawak.
Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datuk Haidar Khan Asghar Khan, berkata angka itu merupakan sasaran peningkatan berbanding edisi terdahulu yang merekodkan kehadiran lebih 23,000 pengunjung sepanjang penganjuran.
“Sambutan tahun lalu amat menggalakkan dan angka tersebut menyamai penganjuran Rainforest World Music Festival di Kuching tahun ini,” katanya ketika merasmikan Pesta Tumbina 2025 di Taman Tumbina, Khamis malam.
Beliau berkata, Pesta Tumbina bukan sahaja menjadi platform menghimpunkan masyarakat berbilang latar belakang, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan sosial, ekonomi dan pelancongan tempatan.
“Pesta ini adalah sebahagian daripada usaha BDA untuk menyemarakkan semangat komuniti dan menyokong agenda pembangunan mampan seperti digariskan kerajaan,” ujarnya.
Antara aktiviti menarik yang dianjurkan sepanjang empat hari penganjuran bermula 7 hingga 10 Ogos ini termasuk pertandingan biodrama, mewarna, burung berkicau, fesyen kanak-kanak, cosplay dan pelbagai acara sampingan lain yang disasarkan untuk penyertaan semua peringkat umur.
Dalam pada itu, Haidar merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pelabuhan Bintulu yang terus menjadi rakan strategik utama dalam menjayakan pesta tersebut buat kali kedua.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Bintulu Port Holdings Berhad atas kerjasama mereka dalam penganjuran Bintulu Marathon 2025 yang berlangsung minggu lalu.
Pesta Tumbina mula dianjurkan pada 2023 dan kini memasuki edisi ketiga menjadi antara acara utama dalam kalendar BDA bagi menggalakkan pelibatan komuniti serta mempromosikan identiti dan kehijauan daerah Bintulu.


