ARTIKEL

Haidar menyampaikan cenderahati kepada ketua rombongan Jemaah Masjid Rashidoh Sa’adatul Bolkiah, Brunei Darussalam, Mejar Jeneral(B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Paduka Haji Abidin.

Pesta Tumbina Jadi Medium Pendidikan Alam Sekitar, Perkukuh Komuniti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Pesta Tumbina 2026 terus mengukuhkan peranannya sebagai platform pendidikan alam sekitar dan pembangunan komuniti apabila menghimpunkan ribuan pengunjung menerusi pelbagai aktiviti berteraskan pemuliharaan biodiversiti, rekreasi keluarga dan kesedaran kelestarian alam.

Haidar bersama-sama kenamaan yang lain melihat pameran fauna dan flora sempena Pesta Tumbina 2026.
Haidar melakukan simbolik perasmian Pesta Tumbina 2026.

Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datuk Haidar Khan Asghar Khan berkata, penganjuran pesta sempena ulang tahun ke-35 Taman Tumbuhan dan Binatang (Tumbina) itu mencerminkan komitmen berterusan BDA dalam memastikan pembangunan bandar seiring dengan usaha memelihara khazanah alam sekitar.

“Program seperti Pesta Tumbina bukan sekadar menyediakan ruang rekreasi dan hiburan kepada masyarakat, malah menjadi platform yang sangat berkesan untuk meningkatkan kesedaran awam berkaitan kepentingan pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan biodiversiti serta tanggungjawab bersama dalam memastikan keseimbangan ekosistem terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Tumbina 2026 di Taman Tumbina, di sini, hari ini.

Menurut Haidar, dalam era pembangunan pesat dan urbanisasi yang semakin berkembang, usaha memupuk kesedaran pemuliharaan alam sekitar perlu diperkasakan bagi memastikan generasi akan datang terus dapat menikmati khazanah semula jadi yang menjadi aset penting negara.

Beliau berkata penganjuran pesta itu turut memperkukuh hubungan kekeluargaan apabila menyediakan ruang kepada ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa berkualiti bersama-sama melalui pelbagai aktiviti yang dirancang sepanjang program berlangsung.

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang tiga hari pesta berlangsung termasuk pameran flora dan fauna, pameran serta jualan kraf tangan, pameran oleh rakan kolaborasi, Nature Walk, Jungle Trekking, Explore Race, Tumbina Night Walk, persembahan hiburan dan pelbagai aktiviti interaktif yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Mengulas sambutan yang diterima, beliau berkata Pesta Tumbina mencatat peningkatan jumlah pengunjung yang memberangsangkan sejak diperkenalkan kira-kira empat tahun lalu apabila kehadiran pengunjung meningkat daripada kurang 10,000 pada penganjuran pertama kepada lebih 15,000 pada tahun berikutnya.

Katanya, jumlah itu terus melonjak kepada kira-kira 60,000 pengunjung pada edisi 2025, sekali gus membuktikan pesta tersebut semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU