Peti sejuk dijadikan perahu

KUCHING: Kebiasaannya kita melihat mangsa banjir dipindah dan diselamatkan menggunakan perahu atau bot, tetapi kali ini penduduk Kampung Sinar Budi Baru di sini menonjolkan sisi kreatif mereka apabila menggunakan barangan kitar semula seperti peti sejuk lama sebagai penyelamat ketika banjir.
Menurut Aziz Shurkini, 48, idea tersebut muncul pada hari pertama banjir ketika dia menggunakan peti sejuk lama untuk bermain air yang ketika itu hanya paras lutut.
Namun katanya pada malam kedua kejadian banjir, air banjir mendadak naik hingga ke paras dada sehingga menyebabkan ramai mangsa tidak sempat pergi ke tempat tinggi.
Dia serta beberapa jiran lelaki memberanikan diri untuk turun membantu mangsa banjir yang terkandas.
“Pada mulanya saya menggunakan peti sejuk itu untuk menghantar anak-anak serta isteri ke dewan yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini.

PETI sejuk lama dijadikan seperti perahu yang digunakan untuk menyelamatkan mangsa banjir.

“Sekembalinya dari dewan, ada jiran memberitahu terdapat penduduk yang terkandas dan memerlukan bantuan untuk dihantar ke PPS.
“Maka kami pun turun bersama-sama membantu jiran lain menggunakan peti sejuk itu dan berjaya memindahkan tujuh ke lapan mangsa,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di PPS Dewan Kampung Sinar Budi Baru di sini, semalam.
Salah seorang mangsa yang diselamatkan, Halipar Morshidi, 54, berkata, pada mulanya dia takut dan tidak yakin untuk menaiki peti sejuk berkenaan tetapi akhirnya akur kerana air semakin tinggi.
“Kejadian banjir berlaku pantas menyebabkan saya sekeluarga tidak sempat menyelamatkan diri.
Malah ia merupakan pengalaman pertama banjir begitu teruk walaupun saya sudah menduduki kampung ini hampir 20 tahun.

“Sebelum ini banjir hanya paras tangga depan rumah sebab rumah saya tinggi. Jalan di depan rumah tenggelam melepasi paras bahu menyebabkan saya tidak dapat menyelamatkan diri lebih awal,” katanya yang juga orang kelainan upaya.
Tambahnya, dia ada memohon bantuan APM dan bomba, namun waktu tersebut banyak kawasan lain turut terjejas yang mungkin menyebabkan anggota penyelamat tidak sempat datang lebih awal.
“Ketika menjejak kaki ke dalam peti sejuk itu, hanya Allah sahaja tahu perasaan saya… sangat takut, kerana perlu duduk dengan betul bagi memastikan ia seimbang, tidak tenggelam serta bergoyang.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana ia satu kenangan indah dan lucu kerana pertama kali berlaku dalam hidup saya.
Kebiasaannya kita melihat mangsa banjir dipindahkan menggunakan perahu,” ujarnya.
Beliau yang mengalami kerugian akibat perabot, sofa serta tilam rumahnya rosak teruk akibat banjir berharap pihak kerajaan dapat menghulurkan sedikit bantuan bagi meringankan beban.
Sementara Zuraifaniza Ismail, 39, berkata, banjir kali ini adalah paling teruk dalam sejarah hidupnya kerana walaupun rumahnya dua tingkat, air mencecah sehingga ke lantai tingkat dua.
“Saya mengalami kerugian hampir RM10,000 kerana banyak peralatan elektrik seperti peti sejuk, kabinet dapur, lantai baharu serta banyak lagi rosak.
“Malah peti sejuk beku yang saya gunakan untuk perniagaan kek lapis juga rosak akibat air bah, kerana bahagian dapur teruk dimasuki air,” katanya.
Zuraifaniza menambah, rumahnya yang dihuni lapan orang berusia enam hingga 63 tahun cemas ketika kejadian kerana tidak menyangka air naik begitu tinggi dan hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri tanpa memikirkan harta benda.
Bagi Ahmad Enem, 56, ini pengalaman kedua dia mengalami kejadian banjir dan tidak menyangka air naik dengan cepat hingga memenuhi ruang rumahnya.
“Saya berasa amat cemas ketika itu dan terus membawa ahli keluarga pergi ke dewan untuk menyelamatkan diri.
“Kejadian itu menyebabkan perabot, almari serta tilam saya rosak teruk,” ujarnya sambil berharap kerajaan dapat memberikan sedikit bantuan bagi melegakan beban kewangan mangsa banjir.

Suara Sarawak