ARTIKEL

Gambar Hiasan

Peti sejuk juga tidak selamat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERANGAN siber terhadap sistem penyeluk di puluhan pasar raya Eropah baru-baru ini mengingatkan saya kepada kes penyelewengan satu sen yang pernah menggegarkan Malaysia pada 1990.

Ketika itu, Aman Shah Ahmad, seorang pegawai bank, mendapat jolokan pencuci satu sen selepas menggodam sistem perbankan untuk memindahkan wang secara tidak sah.

Jika dahulu sistem perbankan menjadi sasaran penyelewengan teknologi, kini ancaman siber semakin meluas sehingga mampu menggangu peralatan yang kita anggap biasa, termasuk peti sejuk dan peti beku di pasar raya.

Penggodam bukan lagi sekadar memburu wang atau data peribadi, malah turut menyasarkan sistem yang mengawal kemudahan fizikal dan infrastruktur penting.

Dalam insiden terbaharu pada 2 November lalu, sistem penyeluk pasar raya di sekurang-kurangnya sembilan negara Eropah dilaporkan terjejas, termasuk Belgium, Estonia, Finland, Ireland, Itali, Luxembourg, Belanda, Portugal dan Sweden.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang berlaku?

Suhu peti sejuk dan peti beku di beberapa premis dilaporkan meningkat sehingga 50 darjah Celsius selepas tetapan sistem kawalan diubah dari jauh.

Keadaan itu menyebabkan pengusaha terpaksa membuang stok makanan yang tidak lagi selamat dimakan.

Serangan berkenaan dipercayai mengeksploitasi kelemahan keselamatan dalam sistem kawalan penyeluk yang disambungkan kepada Internet. Antara risiko yang dikenal pasti termasuk penggunaan kata laluan yang lemah, perisian yang tidak dikemas kini serta sistem kawalan yang dapat diakses dari luar tanpa perlindungan mencukupi.

Menurut laporan media antarabangsa pada 4 November 2026, pakar keselamatan siber Laurens Sminger dari Cyber 3 Lab, Howest University of Applied Sciences di Belgium, memberi amaran bahawa sistem yang boleh diakses melalui Internet tanpa perlindungan sewajarnya berisiko menjadi sasaran pencerobohan.

Sistem penyeluk moden menggunakan peranti kawalan industri, termasuk Pengawal Logik Boleh Atur Cara (PLC), iaitu komputer khusus yang mengawal operasi mesin dan peralatan secara automatik.

Di pasar raya, sistem ini membantu memastikan suhu peti sejuk dan peti beku kekal pada tahap sesuai bagi mengekalkan kesegaran serta keselamatan makanan.

Oleh itu, apabila sistem kawalan itu diceroboh, penggodam berupaya mengubah tetapan operasi dari jauh, sekali gus membebaskan suhu sehingga merosakkan stok makanan. Kesannya bukan sekadar kerosakan teknikal, malah boleh mencetuskan kerugian ekonomi, pembaziran makanan dan gangguan terhadap rantaian bekalan.

Lebih membimbangkan, ancaman seumpama itu tidak terhad kepada sektor peruncitan. Di Perancis, sistem penyeluk di tiga kemudahan penyimpanan plasma darah turut terjejas susulan insiden siber yang melibatkan pembekal peralatan penyejukan.

Bagaimanapun, perkhidmatan darah Perancis memaklumkan bahawa sistem penggera berjaya mengepam semula suhu, membolehkan kakitangan mereka mengambil tindakan segera. Setakat ini tiada sampel atau produk darah dilaporkan terjejas.

Walaupun tiada bekalan darah yang rosak, kejadian itu wajar dijadikan peringatan bahawa serangan siber boleh membawa risiko lebih besar apabila melibatkan kemudahan kesihatan.

Bayangkan jika serangan seumpama itu melumpuhkan sistem penyimpanan vaksin, ubat-ubatan atau bekalan darah yang diperlukan hospital. Kesannya bukan lagi sekadar kerugian kewangan, malah berpotensi mengancam nyawa.

Inilah wajah baharu ancaman siber, sesuatu sistem mungkin kelihatan berfungsi seperti biasa, tetapi kelemahan keselamatan di sebaliknya boleh membuka ruang kepada pencerobohan yang membawa kesan besar.

Kisah Aman Shah dan penggodaman sistem penyeluk pasar raya di Eropah mempunyai satu persamaan, iaitu penyalahgunaan teknologi dan akses kepada sistem yang sepatutnya dilindungi.

Namun, konteks dan zamannya berbeza. Kes Aman Shah menunjukkan cara sistem perbankan boleh disalahgunakan oleh individu yang mempunyai akses dalaman. Manakala serangan di Eropah pula memperlihatkan sistem kawalan industri yang dihubungkan kepada Internet boleh dieksploitasi dari jarak jauh.

Perbezaan ini penting kerana ancaman siber hari ini tidak semestinya memerlukan kemahiran penggodaman yang tinggi. Dalam sesetengah keadaan, kelemahan asas seperti kata laluan yang tidak ditukar atau perisian yang tidak dikemas kini sudah cukup untuk membuka ruang kepada pencerobohan.

Semakin banyak urusan harian diserahkan kepada sistem automatik, semakin besar kebergantungan manusia terhadap teknologi. Keadaan ini memudahkan operasi, tetapi pada masa sama mewujudkan risiko baharu apabila sistem yang menjalankan tugasan itu bergantung kepada sambungan Internet yang berterusan.

Kesimpulannya kecekapan teknologi tidak semestinya menjamin keselamatan. Sistem yang canggih sekalipun boleh menjadi titik kelemahan jika tidak dipantau dan dikendalikan dengan baik.

Oleh itu, keupayaan untuk mengesan gangguan, mengambil tindakan segera dan meneruskan operasi tanpa bergantung sepenuhnya pada sistem digital perlu menjadi sebahagian daripada perancangan setiap organisasi.

Teknologi sememangnya membawa kemudahan dan meningkatkan kecekapan hidup. Namun, semakin banyak urusan bergantung pada sistem digital, semakin besar tanggungjawab untuk memastikan teknologi itu tidak menjadi pintu masuk kepada ancaman.

Teknologi yang dicipta untuk memudahkan kehidupan manusia kini turut membuka ruang kepada ancaman yang sukar dijangkakan. Perkara yang berlaku di Eropah membuktikan bahawa ancaman siber tidak lagi terhad kepada skrin komputer atau telefon pintar, sebaliknya boleh menjejaskan perkara asas yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.

Persoalannya, sejauh mana kita bersedia apabila ancaman digital bukan sahaja mampu mencuri wang dan maklumat, tetapi juga mengganggu sistem yang memastikan kehidupan manusia terus berjalan?

BERITA LAIN

Hujan Landa Beberapa Kawasan Di Madinah

MADINAH: Hujan renyai hingga tahap sederhana masih melanda beberapa kawasan di Madinah sehingga petang Sabtu, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pada Ahad. Pusat Meteorologi

BERITA TERBARU

Usahawan mikro perkasa perniagaan warisan

KUALA LUMPUR: Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan bapanya menggunakan motosikal, legasi menjual makanan tradisional India itu kini menjadi sumber rezeki utama Thirunavukkarasan Krishnana, 52,

THE WEEKND hargai sokongan peminat Malaysia

PENGALAMAN pertama beraksi di Malaysia meninggalkan kesan mendalam kepada bintang R&B Kanada, The Weeknd, apabila penyanyi itu mengakui tidak mungkin melupakan sambutan luar biasa peminat