KUCHING: Ketua jurulatih Tinju Sukma Sarawak, Muhammad Helman Morni menegaskan, barisan petinju yang berada dalam skuad kekal fokus kepada latihan intensif.
Menurut beliau, latihan memberi penekanan terhadap aspek ketahanan fizikal, teknik tumbukan, strategi dan disiplin diri.
“Latihan berjalan mengikut jadual asal yang telah ditetapkan ketika ini.
“Apa yang pasti, para petinju didedahkan kepada beberapa aspek seperti ketahanan fizikal, teknik tumbukan dan sebagainya,” ujar Helman kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau berkata, rutin latihan tersebut juga sebagai persiapan menghadapi beberapa kejohanan yang berada dalam perancangan untuk disertai.
Antaranya, Kejohanan Tinju Piala Malaysia 2025 yang sedang berlangsung di Perlis ketika ini selain beberapa kejohanan lain.
Helman menegaskan pembabitan mereka dalam beberapa kejohanan itu sebagai pendedahan awal untuk mengharungi aksi yang lebih kompetitif.
Selain itu, kejohanan tersebut menjadi pentas menilai prestasi semasa sekali gus menjadi landasan memperbaiki kelemahan masing-masing.
“Petinju perlu didedahkan kepada perlawanan lebih kompetitif kerana ia akan mematangkan mereka serta melihat sejauh mana kemampuan mereka.
“Menerusi kejohanan yang disertai, saya dapat melihat kelemahan dari pelbagai aspek,” kata beliau.
Helman turut mengakui pembabitan anak didiknya dalam Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak Edisi Ke-4 2025 yang berlangsung di Sri Aman pada Ogos lalu menjadi penanda aras terbaik untuk menilai keupayaan petinju sedia ada.
Untuk rekod, seramai lapan petinju berada dalam skuad ketika ini yang merangkumi muka lama dan baharu.



