Petronas bertanggungjawab bayar SST

KUCHING: Petronas bertanggungjawab membayar Cukai Jualan Negeri (SST) di bawah Seksyen 8 kerana ia terlibat dalam penjualan produk petroleum di Sarawak di Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Miri.

Justeru, Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Seri JC Fong berkata, Petronas telah dikenakan SST secara sah untuk penjualan produk petroleum.

“SST bukan cukai eksport, ia cukai jualan yang dikenakan ke atas jualan produk petroleum di Sarawak.

“Walaupun Petronas organisasi penting dan menikmati status istimewa, ia mesti mematuhi Akta Pembangunan Petroleum (PDA).

“Malah di bawah Seksyen 2, 6 dan 8 dalam Akta Pembangunan Petroleum, Petronas mesti mematuhi undang-undang negeri seperti Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) dan undang-undang cukai seperti Ordinan SST,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Beliau menambah, kuasa untuk meluluskan SST oleh perundangan negeri disifatkan sebagai kuasa dalam senarai negeri dan bukan senarai Persekutuan.

Oleh itu katanya, tidak ada sekatan dalam Artikel 95B (3) untuk mengehadkan kuasa Badan Perundangan Negeri mengenai jenis barang yang akan dikenakan SST.

Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengisytiharkan undang-undang negeri seperti Ordinan Jualan Negeri sebagai ultra vires kepada Perlembagaan Persekutuan.

Ia kerana Petronas mengemukakan permohonan selepas lebih tiga bulan, ia berhak berbuat demikian dan tidak menjelaskan kelewatan itu kepada mahkamah.

Fong menegaskan Petronas tidak boleh mempertikaikan tempoh sah Notis Penilaian yang dikeluarkan oleh komptroler kepada Petronas atas permintaan Ketua Pegawai Kewangannya.

Katanya, Petronas telah menafikan bahawa pemberitahuan telah dikeluarkan secara sah dan jumlah yang dikira dilakukan oleh komptroler berdasarkan data jumlah eksport produk petroleum yang direkodkan oleh Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Miri.

“Komptroler bertindak secara sah dan rasional apabila mengeluarkan notis penilaian, namun Petronas masih mengekalkan ia dikecualikan daripada SST,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Sarawak menafikan sedang menggunakan SST untuk mengukuhkan tuntutan bagi mendapatkan lebih banyak hak dalam rundingan mengenai Perjanjian Malaysia.

Katanya, itu adalah hak negeri yang tidak boleh dirundingkan.

Suara Sarawak