KUCHING: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan industri minyak dan gas di Sarawak, selain menggalakkan penglibatan lebih meluas syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam projek serta aktiviti berkaitan.
Sehubungan itu, Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) PETRONAS telah mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Kontraktor Petroleum Sarawak (SPECA) bagi membentangkan hala tuju strategik syarikat untuk tahun 2026.
Sesi yang berlangsung di sebuah hotel di sini diketuai oleh Anuar Ismail serta Norazibah Md Rabu yang mewakili PETRONAS, manakala delegasi SPECA Sarawak diketuai oleh Ahmad Sazali.
PETRONAS dalam satu kenyataan berkata, sesi tersebut bertujuan memberi taklimat kepada pemain industri minyak dan gas Sarawak mengenai aktiviti utama serta perancangan strategik PETRONAS bagi tahun 2026, di samping mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pihak berkepentingan tempatan.
“SPECA Sarawak memainkan peranan penting sebagai platform perwakilan industri, khususnya bagi PKS dalam ekosistem minyak dan gas negeri ini, selain memudah cara dialog konstruktif antara ahli industri.
“Pemain industri turut digesa memperkukuh pembangunan bakat dan keupayaan organisasi bagi menyesuaikan diri dengan landskap tenaga rendah karbon yang semakin berkembang.
“Perancangan akan datang syarikat dijangka membuka peluang bermakna kepada peningkatan penyertaan PKS tempatan serta pembangunan kapasiti industri,” katanya.
Sesi libat urus tersebut mencerminkan komitmen bersama PETRONAS dan SPECA Sarawak untuk memperkukuh kerjasama strategik, meningkatkan penyertaan tempatan serta menyokong pertumbuhan mampan industri minyak dan gas Sarawak.
TAMAT

