ARTIKEL

PETRONAS catat untung RM27.2 bilion

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM27.2 bilion bagi separuh tahun pertama yang berakhir pada 30 Jun 2026, meningkat empat peratus daripada RM26.2 billion pada tahun sebelumnya.

Pendapatan meningkat 15 peratus kepada RM152.4 bilion daripada RM132.6 bilion sebelumnya, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat empat peratus kepada RM56.8 bilion.

Syarikat minyak nasional itu berkata peningkatan pendapatan tersebut disokong terutamanya oleh pengeluaran domestik yang lebih tinggi, jumlah jualan gas asli cecair (LNG) dan gas diproses yang lebih tinggi, serta harga purata yang direalisasikan yang menggalakkan merentas produk utama.

Walau bagaimanapun, keuntungan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh impak pertukaran mata wang asing yang tidak menggalakkan dan tekanan kos akibat ketidaktentuan pasaran tenaga global.

PETRONAS berkata perniagaan hilirannya membantu melindungi keselamatan tenaga nasional semasa konflik Asia Barat, termasuk melalui kepelbagaian sumber minyak mentah dan menyokong keperluan bekalan domestik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Aziz berkata, keutamaan PETRONAS pada separuh pertama tahun 2026 adalah untuk melindungi keselamatan tenaga bagi pihak yang disantuninya.

“Bagi menunaikan tanggungjawab ini, kami melaksanakan pelaburan strategik untuk memperkukuh portfolio kami bagi daya tahan jangka panjang.

“Dalam menyahut impak krisis tenaga global, PETRONAS memanfaatkan kekuatan portfolio bersepadu kami dan mempergiatkan usaha merentas rantaian nilai untuk menyampaikan tenaga tanpa gangguan kepada Malaysia sebagai syarikat minyak nasionalnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Perbelanjaan modal kumpulan meningkat lebih daripada dua kali ganda kepada RM41.4 bilion daripada RM17.7 bilion, didorong terutamanya oleh suntikan modal tambahan dalam usaha sama PRefChem serta pelaburan dalam aktiviti cari gali dan pembangunan huluan.

Aliran tunai daripada aktiviti operasi berada pada tahap RM47.5 bilion, penurunan marginal sebanyak RM600 juta daripada tempoh yang sama tahun lalu, berikutan aliran keluar modal kerja.

Malaysia menghasilkan kira-kira 350,000 hingga 360,000 tong minyak mentah sehari, manakala kapasiti penapisan nasional berada pada tahap kira-kira 730,000 hingga 740,000 tong sehari.

Ini bermakna negara masih bergantung pada minyak mentah import dan perancangan bekalan yang teliti untuk memastikan ketersediaan bahan api domestik.

Petronas berkata perniagaan hilirannya memainkan peranan penting semasa konflik Asia Barat dengan menyelaras tindak balas perusahaan untuk melindungi keselamatan tenaga nasional, sementara PETCO Trading Labuan mempelbagaikan sumber minyak mentah bagi mengurangkan pergantungan kepada minyak mentah yang melalui Selat Melaka.

Syarikat itu berkata ia akan terus mengekalkan disiplin kewangan dan operasi sambil melabur dalam cari gali dan pembangunan Malaysia, memperluas perjanjian bekalan LNG, mengukuhkan daya tahan bekalan dan mempertingkatkan tawaran tenaga baharu.

BERITA LAIN

Teknologi dan skala perniagaan kunci kenaikan gaji pekerja

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi dan peningkatan skala perniagaan mampu memperkukuh produktiviti serta keupayaan syarikat untuk mengembalikan hasil pertumbuhan kepada pekerja menerusi kenaikan gaji. Menteri Ekonomi,

BERITA TERBARU