BINTULU: Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS), menerusi anak syarikatnya Kumpulan Syarikat Malaysia LNG (MLNG), hari ini melancarkan Program PETRONAS Memperkasakan Ilmu atau dikenali sebagai Program Jangkauan Luar MLNG Bestari bagi memperkukuh pembangunan pendidikan serta memperkasakan komuniti luar bandar di Sarawak.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MLNG, Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan PETRONAS terhadap pembangunan modal insan serta usaha memastikan akses kepada pendidikan berkualiti bagi komuniti luar bandar yang memerlukan.
“Melalui program ini, kami telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan pendidikan termasuk kelengkapan pembelajaran ke kawasan seperti Ulu Roban, Tatau, Sebauh, Betong dan Dalat,” katanya semasa berucap pada majlis PETRONAS Memacu Kehidupan Gawai Segulai Sejalai yang berlangsung di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Pada majlis berkenaan, PETRONAS turut menyerahkan sumbangan berbentuk TV pintar kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah terpilih.

Selain itu, sumbangan kelengkapan pejabat seperti meja dan kerusi juga diberikan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nyalau bagi menyokong keperluan pembelajaran harian serta meringankan beban pentadbiran sekolah.
“Kami percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang akan membawa kesan positif kepada keseluruhan komuniti,” ujarnya.
Tambah Mohamed Syazwan lagi, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jangka panjang PETRONAS untuk memperkasa pendidikan sebagai kunci pembangunan mampan komuniti, sejajar dengan aspirasi syarikat dalam memberi impak bermakna kepada masyarakat setempat.



