Petronas peruntuk RM20 juta bantu barisan hadapan

MIRI: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menerusi anak syarikatnya Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) menyumbangkan pelbagai peralatan pelindung diri (PPE) dan bekalan makanan kepada 600 kakitangan kesihatan yang ditugaskan membendung penularan Covid-19.

Sebanyak 3,500 topeng muka, 3,500 sarung tangan, 275 pembersih tangan serta makanan dan air mineral dihantar oleh kakitangan PCSB kepada semua barisan hadapan kesihatan dan pihak penguat kuasa yang terlibat.

Terdahulu, sekitar 600 topeng muka, 500 sarung tangan, dan 30 pembersih tangan serta makanan dan minuman dihantar kepada PDRM.

Pihaknya juga akan menghantar barang keperluan tersebut kepada barisan hadapan di Hospital Umum Miri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bomba dan Penyelamat Zon Miri dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Menurut Pengurus Besar Kanan Bahagian Minyak Sarawak PCSB Morris Mail, pihaknya ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua kakitangan kesihatan dan anggota penguat kuasa yang bekerja keras untuk memutuskan rantaian Covid-19.

“Kita ingin melaksanakan kewajipan untuk memastikan keselamatan barisan hadapan sentiasa mempunyai PPE.

Bekalan makanan juga mencukupi untuk mereka menjalankan tugas dengan berkesan.

“Justeru, kita akan terus bekerjasama erat dengan agensi kerajaan terlibat sebagai satu daripada matlamat dan komitmen kita untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat, terutama dalam tempoh mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, sumbangan tersebut melengkapkan inisiatif baharu Petronas melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Petronas dan anak-anak syarikatnya dalam membantu barisan hadapan.

Pada masa sama, menyokong masyarakat setempat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Sehingga kini, Yayasan Petronas menyumbangkan peralatan dan bekalan perubatan bernilai RM20 juta kepada hospital dan kakitangan kesihatan di Malaysia.

Sementara anak syarikat Petronas, iaitu Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG), Asean Bintulu Fertilizer Sdn Bhd (ABF), Petronas Chemicals Group Bhd (PCG), Petronas Dagangan Berhad (PDB), Petronas Carigali Sdn Bhd – Sarawak Oil dan Petronas Carigali Sdn Bhd-Sarawak Gas, secara kolektif menyumbang bantuan makanan kepada keluarga B40 di Sarawak.

Ia juga termasuk membantu menyediakan keperluan untuk peralatan nyahcemar dan PPE bernilai RM24,000 kepada Bomba dan Penyelamat Sarawak.

Suara Sarawak