KUCHING: PETRONAS memperuntukkan kira-kira RM28 juta tahun ini bagi memperkukuh pembangunan pendidikan dan modal insan di Sarawak merangkumi tajaan pengajian tinggi, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pengurus Besar Kanan Pendidikan dan Pelaburan Modal Insan PETRONAS, Akmal Niza Ahmad berkata, pelaburan dalam pendidikan merupakan komitmen berterusan syarikat bagi melahirkan bakat masa depan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Bagi PETRONAS, sokongan kepada para penerima tajaan pendidikan ini merupakan manifestasi komitmen berterusan kami dalam membangunkan modal insan dan melahirkan bakat masa depan negara.

“Setiap pelaburan dalam ilmu pengetahuan adalah pelaburan strategik untuk masa depan yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu Sarawak 2026 yang disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, pada tahun ini lebih 100 anak muda Sarawak menerima Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi terkemuka dalam dan luar negara, termasuk Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).
“Penerima tajaan terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang cemerlang dan dipilih daripada lebih 7,000 pemohon dan dinilai menerusi kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan serta pelibatan aktif dalam kegiatan kokurikulum.
“Mereka akan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, sains, teknologi, analisis data, perniagaan dan sains sosial di UTP serta universiti terkemuka di Malaysia dan luar negara termasuk United Kingdom, Kanada dan Australia,” ujarnya.
Di samping itu katanya, sejak penubuhan Yayasan PETRONAS pada 2019, lebih 300 pendidik di Sarawak mendapat manfaat daripada program pembangunan profesional kami, disokong oleh Hab STEM di Pusat Kegiatan Guru Miri.
“Yayasan PETRONAS turut menjadikan 10 sekolah di Sarawak sebagai sekolah angkat dengan sokongan merangkumi Pembiayaan Duta Guru, Pusat Inovasi Pelajar serta penambahbaikan makmal sains mengikut keperluan setiap sekolah.
“Menerusi program Tajaan dan Bantuan Latihan Institusi Vokasional (VISTA), PETRONAS bekerjasama dengan sembilan institusi TVET di Sarawak dan berjaya melahirkan lebih daripada 2,000 pelatih dengan jumlah pelaburan melebihi RM8.5 juta.
“Program ini kini diperkasakan sebagai VISTA i-plus dengan perancangan untuk diperluaskan ke Sarawak dalam masa terdekat,” katanya.
Tambahnya, komitmen PETRONAS dengan pembangunan pendidikan di Sarawak turut diperkasa menerusi kerjasama strategik kerajaan negeri dan institusi pendidikan.
“Menerusi program Discover PETRONAS @ Schools, lebih 350 pelajar di Daerah Subis dan Simunjan mendapat manfaat sepanjang tahun ini.
“Menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, sebanyak 60 Kit STEM Mudah Alih akan diagihkan ke semua 30 daerah di Sarawak.
“Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada sehingga 1,030 sekolah dan lebih 157,000 pelajar di seluruh negeri,” jelasnya.
Untuk rekod, program tajaan yang diperkenalkan sejak 1975 itu memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar Malaysia, termasuk dari Sarawak.

