KUCHING: Seramai 60 ketua keluarga kurang berkemampuan dari enam buah kampung sekitar Stakan menerima sumbangan bakul makanan sempena sambutan ulang tahun ke-10 Stesen Minyak PETRONAS Stakan yang dikendalikan oleh Syarikat Kos Synergy.
Majlis penyerahan diadakan melalui satu acara amal anjuran stesen tersebut dengan kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, enam buah kampung yang terlibat ialah Kampung Bukit Berangan, Sungai Pendam, Sungai Empit, Merdang Gayam, Pangkalan Kuap dan Stakan Melayu.
“Sumbangan diberikan kepada 60 penduduk yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan, melibatkan barangan makanan asas yang diperlukan dalam kehidupan seharian.
“Usaha murni ini menunjukkan keprihatinan pihak PETRONAS Stakan terhadap masyarakat setempat, dan ia dilaksanakan dengan kerjasama rapat bersama Pusat Khidmat DUN Stakan,” katanya semasa menyempurnakan majlis penyerahan berkenaan.
Pengurus Stesen PETRONAS Stakan, Khairunnizan Othman pula berkata, program ini bukan sekadar inisiatif bantuan, malah bertujuan menyemai semangat tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.
“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai individu dan organisasi lain untuk turut serta dalam program khidmat masyarakat seperti ini,” katanya.
Setiap bakul makanan yang disumbangkan bernilai RM100 dan mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, makanan dalam tin serta mi segera.
Dalam pada itu, Khairunnizan turut memaklumkan bahawa pihaknya akan melaksanakan satu lagi inisiatif berbentuk kempen khidmat beli minyak masak terpakai pada 27 Julai ini.
“Melalui program itu, kita menggalakkan penduduk sekitar menjual minyak masak yang telah digunakan dari rumah sebagai usaha menjana pendapatan sampingan,” tambahnya.



